TINDAKAN sekumpulan pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di Batu Caves, Selangor baru-baru ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Berdasarkan video tular di Facebook sejak Rabu, pelajar yang lengkap berbaju sekolah dengan bersahaja menghisap rokok elektrik atau vape.
Mereka juga dilihat berkongsi vape antara satu sama lain tanpa dihalang oleh orang dewasa.
Susulan video itu, pihak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Darul Ehsan mengesahkan bahawa kejadian tersebut berlaku di dalam kalangan pelajarnya.
"Pihak sekolah memandang serius kesalahan menghisap vape yang berlaku di kawasan surau baru-baru ini.
"Surau merupakan tempat suci untuk beribadah dan harus dihormati oleh semua warga sekolah.
"Tindakan ini bukan sahaja mencemarkan kesucian rumah ALLAH, tetapi juga melanggar peraturan sekolah serta undang-undang yang berkaitan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sehubungan itu, pihak sekolah akan mengambil tindakan disiplin yang sewajarnya terhadap pelajar terlibat mengikut garis panduan telah ditetapkan.
Pihaknya juga memberitahu akan mempertingkat pemantauan dan menjalankan program kesedaran bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang.
"Kami menyeru semua pelajar agar sentiasa menjaga adab dan mematuhi peraturan demi kebaikan bersama," jelasnya. — Majoriti
|