PUTRAJAYA: Kadar subsidi telur ayam dikurangkan kepada lima sen daripada 10 sen bermula esok dan seterusnya ditamatkan sepenuhnya mulai 1 Ogos ini.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam yang mencukupi dan terjamin berikutan kos pengeluaran sudah stabil.
Katanya, ia terbukti sepanjang musim perayaan Aidilfitri lalu yang mana ketersediaan bekalan adalah mencukupi dengan harga kompetitf.
"Sejak Februari 2022 hingga Disember 2024, kerajaan sudah membelanjakan hampir RM2.5 bilion untuk pembayaran subsidi telur ayam kepada pihak industri bagi menampung peningkatan kos pengeluaran berikutan pandemik COVID-19 serta kesan peperangan antara Ukraine dan Russia ke atas harga import soya dan jagung bijian.
"Kerajaan juga sudah mengambil kira tempoh kawalan harga dan pemberian subsidi yang terlalu lama ialah sesuatu yang tidak mampan kepada kelangsungan industri pengeluar telur tempatan serta kewangan negara," katanya menerusi kenyataan hari ini.
KPKM berkata, langkah penyasaran semula subsidi adalah lebih adil memandangkan ketika ini ia turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi, manakala hasil penjimatan daripada peruntukan terbabit kelak boleh digunakan untuk pembiayaan projek tertentu untuk kesejahteraan rakyat selaras dengan nilai MADANI.
Dalam pada itu, KPKM memaklumkan, bagi meminimumkan impak ke atas kos sara hidup, kementerian itu dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan langkah intervensi.
Antaranya, pihak industri bersetuju untuk memperkenalkan telur gred khas pada harga yang munasabah.
Rakyat boleh mendapatkan bekalan telur pada harga yang lebih kompetitif melalui inisiatif Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah di seluruh negara termasuk di semua outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
KPDN pula akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan melalui pemantauan berterusan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi membanteras sebarang aktiviti pencatutan atau manipulasi harga oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.
"Rakyat boleh menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berhubung isu bekalan telur melalui e-mel rasmi KPKM di alamat pro@kpkm.gov.my atau melalui hotline Ibu Pejabat KPKM Putrajaya 03-8000 8000," katanya. - BH ONLINE
|