Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Ieda Moin bersyukur berjaya mengesan tanda awal penyakit kanser pankreas apabila membuat keputusan melakukan pembedahan bariatrik pada Mei tahun lalu.
Ieda atau nama sebenarnya Siti Haida Abdul Moin, 46, menjalani pembedahan terbabit di sebuah pusat perubatan di Pulau Pinang pada Mei tahun lalu.
"Saya berani buat prosedur ini kerana mahu mengawal penyakit diabetes, darah tinggi dan kolestrol dihidapi. Saya makan ubat untuk penyakit tiga serangkai ini sejak usia 27 tahun lagi.
"Namun sebelum buat pembedahan itu, doktor buat 'fully blood test' (pemeriksaan menyeluruh) untuk tahu keputusan penyakit tiga serangkai itu.
"Bagaimanapun doktor kesan risiko untuk saya dapat kanser pankreas agak tinggi dan dikategorikan 'early stage' (peringkat awal) kanser pankreas," katanya kepada Harian Metro.
Ieda berkata, bacaan pankreasnya terlalu tinggi yang berkemungkinan mendapat penyakit yang digeruni ini.
"Kalau katalah saya tak buat bariatrik dan tak tahu, benda itu lama-lama akan merebak jadi kanser tahap satu, dua dan seterusnya tiga. "Maksudnya dengan cara 'fully blood test' ini saya dapat kesan awal yang saya bakal kena kanser pankreas Jadi saya terus minta doktor segerakan pembedahan 'sleeve bariatric' itu untuk cegah kanser. Jadi doktor dah bersihkan semuanya.
"Alhamdulillah... semua dah tiada dan saya sekarang kena jaga pemakanan dan gaya hidup. Penyakit tiga serangkai semua dah normal dan tak perlu makan ubat lagi," katanya.
Ieda masih aktif berlakon dan baru tampil membintangi drama Sekam Didada untuk slot Samarinda yang baru selesai tayangan di TV3. Lakonannya juga dapat ditonton menerusi drama Seribu Tahun yang turut membariskan Azhan Rani, Noorkhiriah dan Emma Maembong yang kini ditayangkan di Astro Ria. - Harian Metro
|