Tangkap layar dari video buli yang tular
PETALING JAYA – “Saya sudah minta pegawai saya siasat segera jika benar peristiwa ini berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).”
Demikian respons Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berhubung video tular dipercayai membabitkan pelajar di sebuah MRSM di Pulau Pinang.
Menurut beliau, tindakan tegas akan diambil sekiranya kejadian dalam rakaman video tersebut merupakan perbuatan buli.
“Jika benar pelajar-pelajar ini adalah pelajar MRSM, tiada kompromi lagi, tindakan tegas pasti akan diambil. Saya sudah mengingatkan banyak kali sejak diberikan amanah menjaga Mara, “you touch you go!”
“Tiada tempat untuk pembuli atau yang cuba membudayakan ‘buli’ dalam apa jua bentuk di MRSM,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Rakaman video berdurasi 1.31 minit tersebut memaparkan sekumpulan pelajar lelaki menghempap kepala dan badan seorang pelajar lain dalam keadaan tertiarap di atas katil.
Remaja lelaki berkenaan turut dilihat disebat dengan tali pinggang pada bahagian punggung, namun tidak dapat dipastikan ia adalah suatu gurauan atau perbuatan buli. – KOSMO! ONLINE
|