Kuala Lumpur : Neelofa meminta seorang lelaki berhenti menjalankan kegiatan penipuan perkhidmatan umrah dengan menggunakan wajah ibunya, Datin Noor Kartini Noor Mohammed dan adik, Ameera Khan secara berlebihan.
Neelofa berkata, dia juga ingin mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan individu terbabit selepas ibunya memaklumkan menerima pelbagai mesej yang sudah menjadi mangsa penipuan di akaun media sosial miliknya.
"Ibu saya menerima banyak mesej peribadi daripada orang ramai yang mendakwa ditipu lelaki ini selepas dia menggunakan salah satu kandungan video yang memperlihatkan wajah ibu dan adik saya di Tanah Suci bagi memperdaya dan menipu orang lain mendapatkan khidmatnya.
"Ibu saya memang pernah menggunakan salah satu perkhidmatannya pada Oktober tahun lalu. Namun, dia mengambil kesempatan untuk menjadikannya sebagai subjek dan kandungan media sosial untuk tujuan pemasaran di Instagram sehingga orang ramai percaya dan mengambil perkhidmatan yang ditawarkan.
"Ramai yang menghubungi dan memberitahu mereka ditipu lelaki ini dan jumlah kerugian yang dialami hampir mencecah ratusan ribu.
"Sebagai anak, apabila perkara sebegini membabitkan ahli keluarga saya tidak boleh terus berdiam. Jadi, saya ingin tegaskan ibu saya tidak terbabit dalam sebarang aktiviti penipuan yang dijalankan atau mempunyai sebarang kaitan," katanya .
Menurut Neelofa, dia juga ingin memberi amaran kepada individu itu supaya berhenti memperdaya umat Islam di negara ini yang berusaha keras menyimpan duit untuk menunaikan ibadah di Tanah Suci.
"Saya harap dia berhenti menipu orang ramai. Saya kasihan melihat ramai orang menjadi mangsa penipuannya. Mereka berusaha keras untuk mengumpul duit ke Makkah, tapi ditipu dengan orang jahat sebegini.
"Saya juga difahamkan masih ada individu yang mendapatkan perkhidmatannya untuk bulan mendatang sedangkan ramai yang terkandas untuk ke Makkah selain dianiaya dengan jumlah yang banyak," katanya.
Terdahulu, Neelofa memuat naik satu hantaran di Instagram Story yang mendedahkan terdapat ramai individu menjadi mangsa penipuan selepas terpedaya dengan kandungan video yang memaparkan ibu dan adiknya ketika mendapatkan perkhidmatan lelaki itu. - Harian Metro
|