KUALA LUMPUR: Pelakon Aprena Manrose mencuri perhatian apabila memuat naik foto tanpa kehadiran suaminya, Mohd Afiq Hazman ketika menyambut Aidilfitri, sekali gus mengundang pelbagai spekulasi mengenai status rumah tangganya.
Menerusi hantaran terbaru di Instagram (IG), Aprena turut meluahkan perasaannya apabila terpaksa menyambut Aidilfitri bersendirian.
"Rasa janggal menyambut Aidilfitri seorang diri, tapi saya akan biasa nanti, insya-Allah.
"Maaf lambat sikit, raya dulu baru kamu semua. Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin semua," tulisnya.
Perkongsian Aprena itu turut mengundang pelbagai persoalan dalam kalangan pengikutnya apabila ada yang bertanya adakah mereka sudah bercerai.
"Aprena dah cerai ke?" soal seorang netizen.
"Baru nak tanya soalan itu (cerai)," komen seorang lagi warganet.
Semakan Harian Metro di IG mendapati Aprena tidak lagi mengikuti akaun IG suaminya itu.
Sementara itu, cubaan Harian Metro menghubungi Aprena bagi mendapatkan komen mengenai status rumah tangganya tidak berjaya apabila dia tidak menjawab panggilan telefon dan membalas mesej WhatsApp.
Aprena dan Afiq berkahwin pada 12 November 2016 dan belum dikurniakan anak. - BH Online
|