|
KETIKA ramai rakan artis mula bergiat aktif dalam politik, penyanyi Datuk Seri Rossa rupanya pernah ditawarkan beralih ke arena sebegitu.
Rossa atau Sri Rossa Rosliana Handayani, 47, bagaimanapun memilih untuk menolak tawaran tersebut kerana enggan menambah beban memikirkan hal berkaitan orang lain.
Jelasnya, kehidupan sebagai seorang ibu tunggal yang mementingkan masa depan anak adalah menjadi keutamaan ketika ini.
"Sejak dulu lagi saya selalu dapat tawaran untuk menjadi ahli politik, tapi ketika ini saya belum sanggup untuk memikul masalah orang lain kerana masalah saya juga banyak.
"Jadi saya fokus dulu kepada masalah saya," katanya kepada mStar.
Biarpun begitu Rossa tetap mengambil tahu perkembangan semasa yang berlaku dalam dan luar negara.
Ibu kepada seorang cahaya mata ini juga memberitahu lebih selesa memberikan tumpuan dan fokus kepada karier nyanyian.
"Tapi saya ambil peduli juga dengan masalah sosial dan politik negara Indonesia dan boleh berbual mengenai pekara itu.
"Cuma pada ketika ini saya lebih selesa menyanyi saja," jelasnya.
Dalam pada itu, Rossa memberitahu anaknya iaitu Rizky Langit Ramadhan, 19, seakan-akan menunjukkan minat ke arah dunia politik negara.
Malah sekiranya ada rezeki, anaknya itu juga bakal melanjutkan pelajaran dalam bidang berkaitan.
"Rizky lebih suka bidang politik, dia suka melihat situasi antara negara. Saya bersyukur juga dia memilih melanjutkan pelajaran di Indonesia berbanding luar negara.
"Katanya dia kesian pada ibunya tapi saya juga berharap dia tidak belajar jauh," jelasnya.
Sekadar info, Raffi Ahmad, Krisdayanti, Anang Hermansyah dan Pasha Ungu antara selebriti Indonesia yang kini bergelar ahli politik di sana.
Sumber : Mstar |
|