CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 130|Reply: 0

Paha lebam-lebam, wanita mimpi makan daging lepas jaga anak asuhan… Rupanya si kecil ada ‘pendamping’ ikut dari rumah sewa!

[Copy link]
Post time 1-5-2025 12:10 PM | Show all posts |Read mode


MENJADI ibu asuhan bukanlah tugasan mudah.


Namun kebanyakan wanita masa kini menjadikannya sebagai ‘kerjaya’ pilihan demi menambah pendapatan keluarga.


Begitulah yang dilakukan Zulin selepas mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan pengurus kewangan di sebuah syarikat kira-kira dua tahun lalu.


Menurut wanita berusia 37 tahun itu, keputusan drastik tersebut bagi memberi tumpuan pada tumbesaran anaknya yang masa tersebut baru berusia empat bulan.


“Saya mula bekerja selepas tempoh berpantang selama 98 hari tamat, kira-kira dua bulan juga hantar anak ke rumah pengasuh.


“Dalam tempoh tu saya rasa pengasuh macam nak ambil kesempatan dan mula berkira, tak boleh terlambat sikit. Sedangkan dia tahu keadaan trafik di Kuala Lumpur selalu sesak.


“Disebabkan itu, saya ambil keputusan untuk berhenti kerja dan menjaga sendiri anak.


“Selepas beberapa bulan, saya terfikir untuk mengambil anak asuhan supaya anak saya ada kawan… suami pun bagi keizinan,” katanya berkongsi cerita.




Zulin kemudiannya membuat iklan mencari anak asuhan di beberapa grup Facebook bermula awal Jun 2022.


Usaha mendapatkan anak asuhan akhirnya tercapai apabila dia dihubungi seorang wanita yang bekerja sebagai jururawat.


“Umur anak asuhan pun hampir sebaya dengan anak saya, hanya muda tiga bulan sahaja. Lagipun anak dia lelaki.


“Selepas berkenalan, saya pun bersetuju dengan jadual kerja dia dan mula mengasuh anaknya, Maliki,” ujar Zulin.


Pada masa sama dia mengakui tugasan mengasuh tidaklah sukar sebagaimana dikongsikan segelintir individu di media sosial.


Malah, wanita asal Terengganu ini bersyukur kerana anak asuhannya tidak banyak ragam dan mudah diuruskan sehinggalah memasuki tahun berikutnya.




“Menjengah pertengahan tahun 2023, saya dah mula rasa pelik. Bukan sebab Maliki buas atau tidak mendengar kata, tapi saya mula mengalami gangguan dan paha saya kerap lebam.


“Kebetulan pula, ibu Malik ada cakap yang anaknya tiba-tiba demam selepas menegur ‘sesuatu’ ketika berada di rumah sewa lama mereka.


“Hampir seminggu Malik demam panas, tak kebah walaupun dah makan ubat dan terima rawatan di klinik. Saya ada juga jaga Malik beberapa hari masa tu,” tambahnya yang menerima ‘gangguan’ dalam tempoh sama.


Malah Zulin menyatakan, anak perempuannya juga tiba-tiba menjadi takut dan sering menangis apabila tangannya menunjuk ke arah tingkap pada waktu malam.


Kadang kala, anaknya akan berlari sambil menangis sehingga waktu tidur terganggu.


“Saya pun mula ikhtiar mendapatkan rawatan selepas mendapat nasihat daripada ibu, kebetulan, makcik saya boleh berubat. Dia cakap ada ‘benda’ ganggu saya dan anak.


“Katanya, benda tu datang daripada Malik, tapi bukan mencari ‘tuan’… mungkin sekadar singgah,” katanya yang mula mendapatkan rawatan perubatan Islam.


Menurut Zulin, selepas beberapa kali mengikuti rawatan, keadaannya kembali pulih.


Gangguan dan juga kesan lebam pada paha tidak lagi kelihatan.




Beranggapan ‘gangguan’ tersebut berakhir, dia tidak menyangka kesan lebam pada paha kembali kelihatan.


“Kejadian kembali berulang selepas saya kembali menjaga Malik, ibu dia hamil anak kedua masa Malik berusia 18 bulan.


“Sepanjang tempoh berpantang, saya tidak menjaga Malik sebab ibunya balik kampung, apabila mula bekerja, Malik berada di bawah jagaan saya.


“Kira-kira seminggu mengasuh, saya dapati paha kiri mempunyai kesan lebam. Pada masa sama, saya ada bermimpi pergi makan kenduri dan makan daging yang dihidangkan.


“Mimpi dan kesan lebam membuatkan saya kembali mendapatkan rawatan kerana bimbang gangguan berterusan,” tambahnya.


Menurut Zulin, dia dimaklumkan bahawa ‘gangguan’ yang diterima berpunca daripada Malik.


Namun malangnya, perawat enggan menceritakan punca dirinya diganggu dan hanya meminta dia berhenti menjaga Malik.


Akur dengan saranan tersebut, dia kemudiannya berkongsi situasi yang dialami dan saranan perawat kepada ibu Malik sambil meminta maaf kerana tidak dapat terus mengasuh. - mStar


This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

3-5-2025 12:26 AM GMT+8 , Processed in 0.047299 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list