BUKIT JALIL: Penyanyi Adira Shuhaimi menafikan dakwaan pernah dicakar dan diterajang oleh bekas madunya, Sharifah Norshafila Hashim dalam satu insiden di kediaman wanita itu, suatu ketika dahulu.
Adira, 33, berkata, dia tidak mengetahui insiden dimaksudkan Sharifah Norshafila, sekali gus menafikan dialah mangsanya.
"Secara jujurnya, saya tak ambil tahu tetapi kalau berbalik kepada soalan tadi, apa yang pasti individu bercakaran dengan bekas madu bukan saya.
"Saya tak rasa itu adalah saya, memang bukan saya. Kalau mahukan kepastian boleh tanya kepada tuan empunya badan," kata Adira ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert MeleTOP, TVS, di sini, malam tadi.
Terdahulu, Norshafila membuat pengakuan dengan menyatakan bahawa dia pernah terlibat dalam pergaduhan fizikal dengan seorang wanita di kediamannya suatu ketika dahulu.
Menurut Norshafila, insiden itu berlaku ketika zaman mudanya.
“Zaman dah berlalu, masa usia muda lagi. Saya ada darah pahlawan. Tak habis dari situ, bukan setakat cakar saja, aku terajang sampai terpelanting,” kata Norshafila menerusi hantaran di IG Story.
|