ALOR SETAR – Suara ghaib kononnya menyuruh membakar rumah sendiri menyebabkan seorang penagih dadah sanggup bertindak demikian yang turut mengakibatkan tiga rumah lagi musnah dalam kejadian di Taman Wira Mergong di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, dalam kejadian pukul 8.20 malam itu suspek berusia 30-an yang baru sahaja dibebaskan dari penjara baru-baru ini dipercayai berhalusinasi setelah mengambil dadah jenis methamphetamine.
-Advertisement-
“Berdasarkan siasatan awal kami, suspek mendakwa mendengar bisikan suara menyuruhnya membakar kertas dan meletakkannya dengan bekas plastik di dalam rumah, yang kemudian terbakar.
“Tindakan suspek itu mengakibatkan kebakaran rumah tersebut dan tiga lagi rumah jiran,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini hari ini.
Beliau berkata, suspek yang baru dibebaskan dari penjara selepas menjalani hukuman atas kesalahan dadah di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya juga didapati positif dadah jenis methamphetamine.
“Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat. Pesalah berdepan hukuman penjara lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.- KOSMO! ONLINE
|