
Wan Azizan (tiga kiri) menyampaikan cenderamata kepada Morshidi. Turut kelihatan ahli lembaga pengarah dan pegawai kanan ANGKASA Sarawak yang lain.
KUCHING: Gerakan koperasi ANGKASA Sarawak mengambil satu langkah penting ke arah memperkasakan belia Sarawak dengan mengadakan kunjungan hormat ke Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) pada Rabu.
Pengerusi ANGKASA Sarawak Wan Azizan Wan Zainal Abidin mengetuai kunjungan itu bersama barisan Ahli Lembaga Pengarah terdiri daripada Mortadza Mantrang, Zaiwin Kassim serta dua Pegawai Kanan, George Aiman dan Arliza disambut Setiausaha Tetap MYSED Morshidi Fredrick.
Wan Azizan berkata, perbincangan tertumpu kepada peningkatan pemerkasaan ekonomi belia melalui platform koperasi dengan memanfaatkan kekuatan lebih 1,000 koperasi berdaftar di seluruh Sarawak.
“Kami percaya belia adalah tulang belakang masa depan Sarawak. Melalui koperasi kami boleh menawarkan mereka lebih daripada sekadar peluang pendapatan, menyediakan sistem pertumbuhan, kepimpinan dan kemampanan.
“ANGKASA bersedia bekerjasama dengan MYSED untuk meluaskan impak kami ke seluruh negeri,” kata Wan Azizan.
Turut dibincangkan pada kunjungan itu ialah mengenai Kejohanan Petanque Kebangsaan untuk Koperasi dengan prospek menarik untuk mengundang penyertaan daripada Negara BIMP-EAGA (Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina).
MYSED dalam pada itu menyatakan sokongan penuh terhadap pendekatan proaktif ANGKASA Sarawak, menekankan bahawa gerakan koperasi kekal berkuasa.
Pada kunjungan itu MYSED dan ANGKASA Sarawak turut mengesahkan visi bersama untuk membentuk Sarawak yang dinamik, berdaya saing dan berpendapatan tinggi.
|