|
SEJAK 2013 selepas menyertai Akademi Fantasia (AF) musim ke-10, nama penyanyi dan pelakon, Amira Othman, 32, serasa tidak pernah dipalit gosip, sekali gus dia 'bersih'.
Namun, kini nama Amira atau Nadia Amira Othman semakin meledak apabila sejak beberapa bulan lalu terkait rapat dan didakwa 'berkasih' dengan pelakon juga duda 'hot', Fattah Amin, 35.
Apatah lagi, ketika ini di mana ada Amira pasti di situ juga hadirnya Fattah dan sebaliknya. Malah, apabila 'live' di media sosial juga ditunggu-tunggu ramai kemunculan mereka bersama.
Rata-rata netizen yang mengikuti mereka pasti menitipkan doa dan restu supaya kedua-dua selebriti popular yang menjadi figura kesayangan ramai ini berjodoh ke jenjang pelamin.
Mengulasnya, Amira berkata, dia mengucapkan terima kasih di atas segala doa yang baik-baik diberikan kepadanya dan mengambil positif saja terhadap semua itu.
"Doa yang baik, saya rasa kita aminkan saja. Sebab, masing-masing ada pendapat masing-masing. Tapi, kalau dah yang baik-baik (doa) itu kita aminkanlah.
"Sebab, doa memang kena yang baik dan kalau didoakan tidak baik, kita pun tahu perkara itu takkan dimakbulkan dan sebagainya. Maka, doakan yang baik," katanya.
Ditanya juga sama ada dia rimas dengan gosip cinta itu, Amira menjelaskan, tidak ada yang perlu dirimaskannya atau kurang selesa kerana ia lumrah hidup selebriti.
"Saya tiada istilah rimas (terhadap gosip). Pada saya, apa pun ia adalah adat kehidupan sebagaimana yang orang kata, asam dan garam seorang anak seni.
"Bukan saya saja yang kena (gosip). Maksudnya, perkara ini ramai lagi (selebriti) pernah kena. Pada saya, selagi namanya 'public figure' pasti akan ada cerita ataupun perhatian untuk orang bercakap-cakap.
"Jadi, itu perkara yang saya dah tahu sejak dari awal nak masuk dalam industri hiburan ini. Justeru, saya tak boleh nak rasa rimas kalau pun ia sekadar gosip," katanya.
Menurut penyanyi lagu Hati Hati dan Jaga Jaga ini, dia akur dengan semua gosip cinta bertebaran itu serta menerimanya dengan hati terbuka serta seadanya.
Terdahulu, hubungan baik serta rapat antara Amira dan Fattah difahamkan terjalin selepas mereka bekerjasama untuk muzik video (MV) lagu Bila Nak Kahwin? nyanyian Amira.
Ditambah, pembikinan MV lagu itu juga dibuat di London dan bagi tujuan promosi, Fattah dilihat ada memuat naik fotonya bersama Amira dalam hantaran di Instagram hingga menjadi perbualan netizen.
Tidak hanya itu, Amira dan Fattah juga terkait gosip didakwa sudah melangsungkan pertunangan baru-baru ini sehingga mereka tampil menafikannya selepas tular di media sosial.
Amira juga kini dikatakan sudah sangat rapat dengan ibu Fattah iaitu Azizah Abdul Ghani termasuk adik-beradik serta saudara-mara pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu.
Ibu bapa okay, memahami
Dikatakan anak orang kaya di Johor dan sebenarnya hidup mewah, keperibadian adab Amira amat dipuji ramai kerana sikapnya yang tidak menunjuk-nunjuk serta 'low profile'.
Justeru, ditanya juga penerimaan ibu bapa dan keluarga terhadap gosip berkenaan, pelakon drama Abang Bomba I Love You ini berkata, orang tuanya memahami apa situasi sebenar.
"Sama ada kawan-kawan dan keluarga saya, mereka adalah orang yang sangat faham serta matang terhadap apa saja yang saya rancang untuk karier seni ini. Mereka okay.
"Tiada apa pun yang perlu dipedulikan sebab mereka lebih tahu dan pada masa sama juga hanya satu dua rakan saja yang suka mengusik saya. Itu perkara biasa," katanya.
Berbicara juga sambutan Aidilfitri kali ini, Amira berkata, dia meraikannya secara sederhana kerana apa yang penting ialah dapat berkumpul bersama ibu bapa dan keluarga.
"Saya ini orangnya 'simple' saja dalam membuat persiapan hari raya untuk diri sendiri. Apatah lagi, jadual kerja saya agak padat pada lebaran kali ini dengan kekangan masa yang ada.
"Bagaimanapun, pada saya sudah amat bersyukur apabila Allah masih mengizinkan saya dapat beraya dengan ibu bapa serta adik-beradik saya. Itu saja cukup, Alhamdulillah," katanya. - Harian Metro
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|