PETALING JAYA – Dikecam gara-gara memberi duit raya mengikut trend viral Penguin Dance, pelakon Lana Nodin membidas dakwaan tarian tersebut sebagai amalan upacara ritual agama lain.
Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hassan Nodin, 45, berkata, sesetengah individu enggan menerima penjelasan disertakan fakta malah lebih selesa ‘memusing’ kenyataan.
“Bila aku dah jawab Penguin Dance bukan budaya mereka ‘dan-dan’ je kalian twist balik kata ‘oh, bukan budaya Melayu’.
“Habis yang terkinja-kinja selama ini dalam media sosial, tergedik dengan jantan belum kahwin tak ada pula kau kata bukan budaya Melayu atau budaya Islam?
“Lepas ni siapa buat Chicken Dance pun haramkan bukan adab orang Melayu. Lupa nak bagi tahu, poco-poco pun sama juga pergerakan dia. Tak pula kata salib,” tulisnya.
Pada masa sama, pelakon filem Evolusi KL Drift: The Series itu turut menempelak pihak yang mempertikaikan caranya meraikan Syawal bersama keluarganya.
“Hak pemikiran masing-masing. Raya aku, suka aku lah nak sambut macam mana.
“Macam kau bagi duit raya kat anak-anak buah aku. Ke kau cemburu tengok kami sekeluarga bahagia,” ujarnya.
Trend Penguin Dance tular di Malaysia dan Indonesia sejak awal sambutan 1 Syawal lalu apabila ramai berkongsi video menerima duit raya sambil berbaris dan menari mengikut rentak catchy.
Menurut pihak tertentu, gaya pergerakan dilakukan sama dengan tarian orang Yahudi ketika melakukan ritual Bar Mitzvah iaitu perayaan meraijkan kedewasaan anak lelaki Yahudi pada usia 13 tahun.
Terdapat juga penjelasan yang menegaskan tarian tersebut dari negara Balkan yang wujud sejak dahulu sekali gus tiada kena mengena dengan sebarang ritual mana-mana agama. – KOSMO! ONLINE
|