KOTA KINABALU: Industri swasta diminta tidak melayan pekerja secara tidak adil walaupun peluang pekerjaan terhad.
Pengerusi Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah, David Chan berkata, pihaknya bimbang berhubung dengan laporan berkaitan layanan tidak adil terhadap pekerja, khususnya graduan baharu dan pemegang diploma, oleh segelintir majikan di sektor swasta.
"Walaupun kami mengakui bahawa peluang pekerjaan pada masa ini agak terhad, ia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mengeksploitasi atau membayar gaji yang terlalu rendah kepada individu yang berkelayakan.
"Kami telah menerima aduan daripada pekerja muda yang memiliki diploma, tetapi ditawarkan gaji yang sama seperti lepasan sekolah menengah.
"Ramai daripada mereka datang daripada keluarga yang telah melabur banyak untuk pendidikan mereka, demi masa depan yang lebih cerah," katanya dalam kenyataan di sini, kelmarin.
Beliau berkata, amat mengecewakan apabila terdapat majikan yang tidak menghargai kelayakan dan potensi graduan baharu, sebaliknya menawarkan upah yang tidak setimpal.
Menurutnya, amalan itu bukan sahaja melemahkan semangat pekerja, malah tidak adil dan merugikan pembinaan tenaga kerja mahir di negeri ini.
"Kami menyeru semua majikan di Sabah agar mengamalkan prinsip keadilan dan ketelusan dalam pengambilan pekerja serta memastikan bayaran gaji yang setimpal dengan tahap pendidikan, pengalaman dan sumbangan pekerja.
"Melayan pekerja dengan hormat dan bermaruah bukan sahaja satu tanggungjawab moral tetapi juga kunci kepada pembangunan perniagaan yang mampan," katanya.
David berkata, pihaknya komited untuk terus memperjuangkan hak-hak pekerja dan menggesa mana-mana individu yang terkesan supaya tampil membuat aduan melalui saluran yang betul.
|