
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri tidak mempunyai data lengkap berhubung hasil-hasil yang dikutip oleh kerajaan Persekutuan di Sabah, walaupun permohonan perkongsian data sudah dibuat sebanyak 13 kali.
Pembantu Menteri Kewangan Datuk Julita Mojungki berkata, sehingga kini kerajaan Persekutuan belum memberikan sebarang maklum balas perkongsian data. Katanya, keadaan itu menyebabkan kerajaan negeri mempunyai kekangan dalam pengiraan hasil bersih Persekutuan.
Bagaimanapun jelasnya, kerajaan negeri mengambil pendekatan membuat pengiraan anggaran amaun pemberian khas dengan menggunakan data tersedia serta andaian munasabah daripada kajian yang dibuat untuk menganggarkan hasil bersih Persekutuan.
"Susulan ini, kerajaan negeri mengemukakan tuntutan amaun pemberian khas bagi tahun 2023 kepada kerajaan Persekutuan.
"Kerajaan negeri menegaskan pendirian untuk mengekalkan formula asal pemberian khas seperti yang termaktub di Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan iaitu dua per lima atau 40 peratus daripada hasil bersih Persekutuan di Sabah," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Darell Leiking (WARISAN-Moyog) mengenai status terkini mengenai tuntutan 40 peratus jumlah hasil dari Sabah dalam Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).
Selain itu jelasnya, jumlah tuntutan yang dibuat kerajaan negeri turut meliputi tuntutan pemberian khas bagi tahun-tahun yang hilang iaitu tiada kajian semula dilakukan sejak 1974 sehingga kini.
Menurutnya, sekiranya rundingan tidak mencapai persetujuan kedua-dua pihak, maka penaksir bebas hendaklah dilantik selaras dengan Perkara 112D (6) Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu katanya, amaun bayaran interim pemberian khas negeri Sabah dan Sarawak dinaikkan kepada RM600 juta pada 2025.
Menurutnya, selaras dengan kenaikan itu, kerajaan negeri bersetuju menerima amaun baharu itu sebagai penyelesaian interim bagi maksud perintah baharu digubal, diwartakan dan seterusnya bagi membolehkan pembayaran pemberian khas bagi 2025 dibuat. Manakala rundingan akan diteruskan sehingga satu amaun baharu boleh dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Katanya, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 Bilangan 1 Tahun 2025 yang diadakan pada 13 Mac 2025 di Putrajaya dan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof memutuskan sesi rundingan di antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan akan diadakan pada 30 Jun 2025.
|