
Mohamad Abu Bakar (duduk belakang, empat kiri) dan Ahmad Nadzri merakamkan kenangan bersama warga Kompleks Persekutuan Kuching pada Program Mesra MADANI Aidilfitri Setiausaha Persekutuan Sarawak hari ini. – Gambar Chimon Upon
KUCHING: Penjawat awam diingatkan agar tidak memandang ringan soal integriti dan harus menjadikannya sebagai prinsip utama sepanjang perkhidmatan mereka sehingga ke hari persaraan.
Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan menegaskan, integriti bukan sekadar janji sewaktu mengangkat sumpah, malah ia adalah komitmen berpanjangan.
"Kita semua harus sentiasa mengingatkan diri akan sumpah yang telah diangkat, khususnya berkaitan tanggungjawab menjaga kerahsiaan dokumen-dokumen rasmi kerajaan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Program Mesra MADANI Aidilfitri Setiausaha Persekutuan Sarawak di Kompleks Persekutuan Kuching di Jalan Simpang Tiga di sini, hari ini.
Ahmad Nadzri turut menegaskan setiap penjawat awam, khususnya penjawat awam persekutuan yang bertugas di Sarawak ataupun di mana-mana sahaja agar sentiasa berusaha memperbaiki dan mengekalkan tahap penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Majlis itu turut diserikan lagi dengan kehadiran Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki yang tiba di pekarangan kompleks sekitar jam 9.40 pagi.
Mohamad Abu Bakar dan Ahmad Nadzri berkesempatan melawat reruai dan pameran yang memaparkan pelbagai produk tempatan, selain meluangkan masa beramah mesra dengan warga Kompleks Persekutuan Kuching, sekali gus menyemarakkan lagi suasana kemeriahan majlis.
Majlis diteruskan dengan pelbagai persembahan dan hiburan menarik, diserikan lagi dengan juadah raya yang menyelerakan.
|