Michael sumbang RM11,000 kepada JKKK Uma Daro untuk hadapi ADM 2025 Peringkat Kebangsaan

Michael disambut mesra setibanya di majlis tersebut.
BELAGA: Sokongan terhadap pembangunan komuniti luar bandar terus diperkukuh apabila Ahli Dewan Negara Senator Michael Mujah Lihan mengumumkan sumbangan sebanyak RM11,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Uma Daro sebagai persiapan menghadapi Anugerah Desa Madani (ADM) 2025 Peringkat Kebangsaan.
Pengumuman itu dibuat semasa majlis kesyukuran juara ADM 2024 Zon 2 peringkat negeri Sarawak serta majlis pemberkatan penyertaan ADM 2025 peringkat kebangsaan yang diadakan di Uma Daro, Belaga pada Isnin.
Menurut Michael, bantuan itu adalah tanda sokongan terhadap usaha gigih penduduk Uma Daro dalam meningkatkan pembangunan kampung mereka.
“Uma Daro telah membuktikan bahawa kejayaan boleh dicapai melalui perpaduan dan usaha bersama.
“Saya berharap bantuan ini dapat membantu mereka dalam persiapan bersaing di peringkat kebangsaan dan mengharumkan nama Sarawak,” ujarnya dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Sumbangan itu dijangka akan digunakan untuk pelbagai keperluan dalam persiapan ADM 2025, termasuk penambahbaikan infrastruktur kampung serta program pembangunan komuniti.
Terdahulu, Michael turut menyertai rombongan Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga Datuk Liwan Lagang dalam lawatan Hari Raya ke Kampung Melayu Belaga dan Kampung Hijrah Jaya, Belaga.
Kehadiran para pemimpin dalam kedua-dua acara itu bukan sekadar simbolik tetapi mencerminkan komitmen mereka untuk mendengar dan membantu masyarakat luar bandar.
Dengan bantuan yang diumumkan ini, diharapkan Uma Daro dapat terus mencapai kejayaan dan menjadi contoh sebuah kampung progresif di Sarawak.
|