
BINTULU: Jambatan Bintulu-Jepak yang dibuka semalam merupakan hadiah istimewa dan bersejarah untuk rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak khususnya dalam menjana ekonomi setempat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee (gambar).
Katanya, jambatan itu bukan sekadar menawar perjalanan singkat malah banyak peluang untuk produk-produk dipromosi kepada mereka yang menggunakan laluan itu untuk singgah dan membeli hasil laut di kawasan Kampung Jepak.
"Ia juga membantu menjana ekonomi kampung, laluan utama ke pesisiran dan jarak perjalanan penduduk Jepak ke pusat bandar akan mengambil masa yang singkat," ujarnya semasa ditemui hari ini.
Beliau berkata, ini merupakan kemudahan yang amat ditunggu-tunggu sekali gus berterima kasih kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana meluluskan pembinaan jambatan itu.
"Kita berharap lebih banyak pembangunan akan dilaksana di Jepak pada masa akan datang dan saya akan berbincang dengan pihak terbabit supaya memperbanyakkan pembinaan infrastruktur yang memberi manfaat kepada rakyat," katanya.
Iskandar memberi contoh pembinaan kawasan tebingan air di Jepak, anjung usahawan, kawasan rekreasi dan pusat komersial serta keperluan lain yang amat mendesak iaitu rumah mampu milik.
"Kita melihat penduduk di DUN Jepak semakin ramai dan ramai golongan muda bekerja ingin mempunyai rumah sendiri, yang mana ini ada dalam skop projek kerajaan negeri," tambahnya.
Dalam pada itu beliau berharap kemudahan jambatan itu akan turut memupuk hubungan silaturahim lebih erat antara penduduk di kawasan pesisiran seperti Balingian dan Mukah.
"Insya-Allah sebagaimana diumum Premier, pembinaan laluan dari bulatan ke lapangan terbang Bintulu juga dilaksanakan, akan membawa impak besar kepada Jepak, contohnya menarik lebih ramai pelancong ke Bintulu termasuk ke Jepak.
"Saya difahamkan daripada penduduk baru-baru ini, ramai datang ke kampung-kampung di Jepak untuk membeli produk-produk kampung. Ia satu petanda dan sesuatu yang amat baik," jelasnya.
Justeru katanya, pada Mei tahun ini, beliau bersama ketua-ketua kaum termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merancang akan menganjur pasar tani di Jepak bukan sahaja melibatkan penduduk Kampung Jepak bahkan rumah-rumah panjang turut dipelawa menyertainya.
Dengan cara ini katanya, akan lebih banyak peluang untuk menjana ekonomi di Jepak.
Mengenai kesannya kepada pengusaha feri katanya, feri tradisional iaitu bot tambang seperti di Sungai Sarawak masih beroperasi dan di sini pengusaha bot sama juga masih boleh beroperasi seperti biasa bergantung kepada keperluan dan perkhidmatan disediakan.
"Sewajarnya warisan ini dikekalkan supaya generasi akan datang tahu bahawa suatu ketika dulu Jepak tidak dihubungi dengan jambatan sebaliknya dengan bot tambang," katanya.
Pada masa sama katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan penguat kuasa agar laluan di jambatan itu tidak disalah guna untuk berlumba dan kita yakin dengan penguatkuasaan tegas perkara ini mampu dibendung.
Katanya, pihaknya juga akan mendidik mereka yang menggunakan laluan jambatan itu secara berhemah supaya dapat memberi manfaat kepada semua pihak sekali gus mencegah perkara-perkara negatif.
|