
Uggah mengadakan lawatan kerja ke projek Lebuh Raya Pan Borneo bagi kawasan Pekan Jakar, Sarikei.
SARIKEI: Permohonan dan cadangan pembinaan lampu isyarat di persimpangan Pekan Jakar iaitu di Lebuh Raya Pan Borneo telah didapati tidak sesuai dan perkara tersebut telah dimaklumkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) Malaysia.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, alternatif untuk cadangan tersebut telah ditukar kepada pembinaan Pusingan-P.
"KKR telah memaklumkan akan membina Pusingan-P yang melibatkan di kedua-dua laluan di Jalan Pan Borneo dalam jarak 500 meter dari simpang Pekan Jakar.
"Jarak Pusingan-P ini adalah lebih dekat berbanding pelan terdahulu yang mengambil jarak 5 kilometer.
"Kita berharap kerja-kerja pembinaan Pusingan-P ini dapat dilaksanakan dan disiapkan dalam tempoh terdekat ini," kata Uggah.
Beliau berkata demikian kepada media ketika mengadakan lawatan kerja ke simpang Jakar, dekat sini, hari ini.
Terdahulu kata Uggah, pihaknya telah memohon agar laluan Pan Borneo di kawasan Jakar dibuka kepada pengguna jalan raya sebelum sambutan Hari Raya.
Tambahnya, pihak kontraktor telah memaklumkan bahawa terdapat beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan di lokasi berkenaan yang melibatkan jarak dalam lingkungan 100 meter.
Uggah mengadakan lawatan kerja ke projek Lebuh Raya Pan Borneo bagi kawasan Pekan Jakar, Sarikei.
"Namun demikian, pihak kontraktor telah berjanji akan berusaha menyiapkan dan membuka laluan tersebut sempena musim perayaan yang akan datang ini, walaupun ia dijadualkan akan dibuka pada April akan datang.
"Usaha ini adalah untuk memastikan kelancaran laluan di lokasi berkenaan di sepanjang musim perayaan ini.
"Hingga kini, Lebuh Raya Pan Borneo telah siap 99.6 peratus," jelas Uggah.
Mengulas berkaitan isu banjir yang melanda di negeri ini, beliau berkata, bagi isu banjir yang berlaku di kawasan Jambatan Durin, ia merupakan kali pertama berlaku.
Berikutan itu katanya, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah melakukan kajian berkaitan kejadian tersebut dan jika situasi berterusan berlaku, berkemungkinan jalan di kawasan tersebut akan dinaik taraf dengan lebih tinggi lagi.
"Sehubungan itu, kita ingin memohon maaf kepada semua di atas kejadian tersebut kerana ia berlaku di luar jangkaan kita.
"Situasi banjir di Batang Rajang kini semakin membimbangkan pihak kita kerana ia melibatkan beberapa kawasan seperti Kapit, Song, Sibu, Kanowit dan beberapa buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka dalam menghadapi masalah ini.
"Pagi tadi, pihak kita telah dimaklumkan oleh pihak Pejabat Residen Kapit bahawa paras air di kawasan tersebut telah menurun, namun di bahagian hilir Batang Rajang, paras air masih lagi pada paras berjaga-jaga," kata Douglas Uggah.
Dalam masa yang sama juga, Uggah turut mengarahkan semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah bersiap sedia sepanjang masa untuk menghadapi sebarang isu berkaitan banjir.
Hadir sama Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato Sri Huang Tiong Sii.
|