
SERAH: Jauteh menyaksikan Zulkepli menyerahkan dokumen tugas kepada Alhusin.

NAIK PANGKAT: Jauteh memakaikan pangkat ACP kepada Alhusin.
KOTA KINABALU: Asisten Komisioner Alhusin Halil dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah baharu berkuat kuasa Khamis.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas dan Majlis Pemakaian Pangkat di Auditorium Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini.
Dalam majlis itu, Alhusin turut dipakaikan pangkat Asisten Komisioner Polis (ACP).
Jawatan Ketua JSJN Sabah diserahkan kepada Alhusin daripada Asisten Komisioner Zulkepli Hashim yang bertukar keluar bagi menjawat jawatan yang sama di Kontinjen Kuala Lumpur.
Semasa berucap dalam majlis terbabit, Jauteh mengucapkan syabas dan tahniah kepada Alhusin yang akan mengemudi JSJN Sabah seterusnya memberikan komitmen yang tinggi dalam menggalas tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan.
“Semoga dengan perlantikan ini akan memberi semangat baru untuk lebih komited, ikhlas dan progresif bagi memacu PDRM khususnya Kontinjen Sabah ke tahap yang lebih cemerlang,” katanya.
Beliau juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Zulkepli sepanjang menjawat jawatan ini dan di atas pencapaian dan kecemerlangan sepanjang perkhidmatan beliau dalam usaha membanteras jenayah narkotik di Kontinjen Sabah termasuk melumpuhkan beberapa geng yang berprofil tinggil dan menarik perhatian.
Bercakap lanjut, Jauteh menegaskan kepada semua pegawai serta anggotanya yang hadir, agar melaksanakan tugas secara profesional dan memberikan perkhidmatan bertunjangkan integriti dan tata kelola yang baik (Good Governance).
"Haruslah memberi penekanan terhadap Indeks Jisim Badan (BMI) yang ideal serta kecergasan fizikal dalam kalangan semua peringkat pegawai PDRM selaras dengan pematuhan terhadap standard BMI yang ditetapkan di bawah BMI 28.
"Pematuhan terhadap standard BMI yang ditetapkan adalah antara syarat wajib bagi pengesahan jawatan, kenaikan pangkat, penerimaan pingat, serta Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) demi memastikan semua warga PDRM berada dalam keadaan cergas, cekap fizikal serta sihat untuk menjalankan sebarang tugas selain menjadikan warga PDRM sentiasa kelihatan segak ketika berpakaian seragam,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Shahurinain Jais, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Sabah Datuk Mohd Azhar Hamin, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah Datuk Azmi Abd Rahim, Ketua Jabatan Pengurusan Sabah Senior Asisten Komisioner Nik Md Zain Nik Omar, Ketua Cawangan Khas Sabah, Senior Asisten Komisioner Abd Rahman Ishak, Ketua-ketua Jabatan serta Formasi dan wakil, Ketua-ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Pegawai Kanan Polis, Pegawai Rendah Polis serta Pegawai Awam Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sabah.
|