Edited by Vellfire at 19-3-2025 03:02 PM

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid (kiri) ketika serbuan pematuhan di bulan Ramadan di beberapa lokasi sekitar daerah ini, hari ini - Foto FACEBOOK JABATAN AGAMA ISLAM NEGERI JOHOR
JOHOR BAHRU: Beberapa lelaki warga asing bertempiaran lari sebaik sebuah kedai makan yang menjadi ‘port’ untuk tidak berpuasa di kawasan Pasar Borong Pandan, di sini diserbu Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) pada 17 Mac.
Selain lari melalui pintu belakang premis, mereka yang tidak sedar akan kehadiran pihak berkuasa dilihat asyik menyuap makanan dan menghirup minuman secara terbuka, lapor Berita Harian Malaysia.
Berdasarkan maklumat, kedai makan itu mengenakan caj RM320 ($96.30) sebulan kepada setiap pelanggan yang mahu makan tengah hari di premis berkenaan termasuk sepanjang Ramadan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Encik Mohd Fared Mohd Khalid, berkata kedai makan milik warga tempatan itu merupakan lokasi ketiga diserbu pihaknya pada 17 Mac, sebagai sebahagian langkah pemantauan selain hasil maklumat awam.
“Tiada tangkapan dilakukan melalui dua serbuan awal, manakala serbuan di lokasi terakhir, ramai warga asing beragama Islam ditahan sedang menjamu selera.
“Ketika serbuan, ada yang tengah menyuap makanan, ada yang menghirup minuman secara terbuka. Ini perbuatan yang tidak menghormati kesucian agama Islam khususnya di bulan Ramadan.
|