M KUMAR menunjukkan antara peralatan makmal haram dadah dan sebuah kilang di sekitar Iskandar Puteri dan Seri Alam ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Iskandar Puteri. FOTO Muhammad Najmi Nor’Azam
Iskandar Puteri: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor berjaya menumpaskan satu sindiket dadah antarabangsa selepas menyerbu tiga makmal dadah dan sebuah kilang penyimpanan serta peralatan dadah dengan rampasan berjumlah RM12.9 juta.
Ia hasil operasi khas yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPF) Iskandar Puteri bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menerusi lima serbuan di daerah ini dan Seri Alam pada 6 hingga 11 Mac lalu.
Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata, pada serbuan itu, lima lelaki tempatan dan dua lelaki warga Taiwan berusia 25 hingga 40 tahun ditahan bersama sejumlah dadah, peralatan dan bahan memproses dadah ('precursor').
"Ekoran serbuan, kami berjaya membongkar tiga makmal dadah dan sebuah kilang dadah. Makmal digunakan sebagai tempat memproses dadah manakala kilang pula sebagai stor simpanan bahan yang digunakan untuk dadah atau precursor.
"Pada kesemua serbuan itu, kami antaranya merampas 42.4 kilogram (kg) serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) bernilai lebih RM7.09 juta dan 18.2kg syabu bernilai RM5,849,600.
"Kami juga merampas tiga kereta bernilai keseluruhan RM319,000, sebuah lori bernilai RM49,800, barangan kemas bernilai RM15,822 dan tiga akaun bank berjumlah RM17,600.37," katanya pada sidang media kejayaan polis di IPD Iskandar Puteri di sini, hari ini.
Menurut Kumar, sekiranya terlepas ke pasaran, dadah yang dirampas dalam operasi itu boleh digunakan seramai 1.05 juta penagih.
Katanya, modus operandi kumpulan ini ialah menjadikan kawasan perumahan berpengawal sebagai makmal, manakala kilang terletak di kawasan perindustrian Iskandar Puteri.
"Hasil saringan urin mendapati, semua suspek negatif daripada sebarang jenis dadah manakala hasil semakan mendapati tiga suspek mempunyai rekod berkaitan dadah.
"Sindiket terbabit dipercayai sudah beroperasi sejak Julai 2024 dengan pembukaan makmal pertama.
"Tujuh suspek yang ditangkap ini termasuk tiga daripadanya ahli kimia tetapi tidak mempunyai tauliah. Kita masih menyiasat dari mana mereka mendapat kepakaran membuat dadah yang dipercayai juga untuk diedarkan ke pasaran antarabangsa.
"Kita juga masih memburu saki baki anggota sindiket. Kita juga percaya, seorang daripada suspek yang ditahan adalah dalang sindiket ini," katanya.
Kesemua suspek direman sehingga 20 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
|