Gambar edaran Pejabat Peguam Negara Negeri Chihuahua menunjukkan pakar forensik dari Agensi Penyiasatan Negeri sedang bekerja di kubur tanpa tanda di kawasan pergunungan ‘El Willy’, Nuevo Casas Grandes, negeri Chihuahua, Mexico. - Foto AFP
MEXICO CITY: Sekurang-kurangnya 56 mayat ditemui dalam kubur besar tanpa tanda di utara Mexico, tidak jauh dari sempadan dengan Amerika Syarikat (AS), kata pendakwa raya tempatan dalam satu kenyataan, semalam.
Menurut kenyataan itu, mayat berkenaan digali awal minggu ini di negeri Chihuahua – kawasan yang terkenal dengan jenayah berkaitan dadah dan penyeludupan senjata – dalam satu operasi dibantu tentera yang berlangsung selama beberapa hari.
Pendakwa raya bagaimanapun tidak memberikan butiran mengenai kemungkinan identiti mangsa.
Penemuan mayat itu merangkumi beberapa jasad, rangka yang lengkap dan sebahagian anggota badan selain pakaian serta kelongsong peluru.
Pendakwa raya berkata, kesemuanya dihantar ke makmal forensik untuk menentukan masa dan punca kematian, dengan harapan identiti mereka dapat dikenal pasti.
Media tempatan melaporkan, mayat berkenaan digali di kawasan dikenali sebagai 'El Willy', kawasan yang dikawal oleh pertubuhan jenayah bergelar 'La Linea' – salah satu cabang bersenjata kartel Ciudad Juarez yang aktif di sempadan.
Negeri Chihuahua terletak di sepanjang laluan penyeludupan dadah dan migran ke AS.
Bulan lalu, sekurang-kurangnya 12 mayat ditemui dalam beberapa kubur kira-kira dua jam dari Ciudad Juarez, yang terletak di seberang sempadan dari El Paso, Texas.
Lebih daripada 450,000 orang maut dibunuh di seluruh negara sejak Mexico melancarkan serangan besar-besaran terhadap kartel dadah pada 2006. - AFP
|