CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2858|Reply: 0

Potret Terbilang, TV3 @ Isnin, 7.30pm

[Copy link]
Post time 13-9-2007 09:37 AM | Show all posts |Read mode
'Potret Terbilang' papar tokoh berjaya yang kurang terkenal
12-09-2007 04:20:31 PM
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ
Selepas kejayaan  TV3 menayangkan rancangan bergenre dokumentari  'Potret Kejayaan' pada tahun 2002,  Jabatan Majalah, Dokumentari dan Famili stesen televisyen di bawah naungan konglomerat Media Prima itu menerbitkan sebuah lagi siri dokumentari 'Potret Terbilang' yang akan disiarkan mulai 17 September ini.

Rancangan 12 episod yang dilakukan sempena 50 tahun Malaysia menyambut kemerdekaan ini adalah mengenai kegigihan dan kejayaan anak Malaysia dalam bidang yang mereka ceburi sama ada di dalam atau di luar negara.

Mereka adalah pelukis tersohor Datuk Ibrahim Hussein yang tinggal di Malaysia yang berjaya dalam seni tampak, Sarhan Endut iaitu anak Melayu pertama bekerja dalam dunia perbankan di Switzerland, Alice Verghese sebagai sukarelawan yang menetap di Copenhagen, Denmark, chef terkenal Cheong Liew di Australia, pereka tari dan penari kontemporari Aida Mohd Redza yang tinggal di Copenhagen, Denmark.

Tidak lupa juga pemilik butik Ornel Soie Ng Swee Kuang di Paris, Perancis, Datuk Hassan jamaluddin sebagai kontraktor Malaysia di Sarajevo, pereka fesyen terkenal Razak Mohammed di Adelaide, Australia, usahawan Ishak Mahyuddin di Christchurch, New Zealand, pelukis dan pereka kaligrafi Siti Jaleha Mohd Yusof yang menetap di London dan ulama Dr Uthman El-Muhammady yang terkenal di Malaysia.

"'Potret Terbilang' memaparkan kegigihan anak Malaysia di peringkat global dan dikenali di tempat mereka bermastautin.

"Menerusi program ini rakyat Malaysia dapat mengenali anak Malaysia yang telah berjaya menempa nama di peringkat global," ujar Mazlin Nordin selaku penerbit semasa pelancaran program tersebut semalam di Sri Pentas TV3, Bandar Utama.


'Potret Terbilang' ditayang bermula 17 September ini
(Foto The Star oleh Ricky Lai)

Menurut penerbit terkenal yang turut terlibat dalam menjayakan rancangan 'Bersamamu' ini, program Potret Terbilang mempunyai kelainannya yang tersendiri berbanding 'Potret Kejayaan' yang disiarkan lima tahun lalu.

"Jika tokoh di dalam 'Potret Kejayaan' seperti Siti Nurhaliza, mereka memang sudah mencipta nama (terkenal) tetapi yang ini ('Potret Terbilang'), sebanyak 80 peratus tak dikenali langsung. Kalau ada yang cipta nama pun seperti Datuk Ibrahim Hussein," jelas Mazlin.

Program selama setengah jam ini turut memaparkan onak dan duri yang ditempuhi anak Malaysia untuk mencipta nama sehingga ke peringkat antarabangsa.

Oleh itu, program ini akan membawa penonton mengenali tokoh-tokoh ini serta berkongsi kejayaan bersama rakyat Malaysia tanpa mengira usia, bangsa dan agama.

Menurut Mazlin, bukan mudah untuk menjejaki sebelas orang tokoh ini kerana mereka perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran yang membuatkan mereka berusaha dengan lebih gigih agar semuanya dapat dijalankan seperti yang diharapkan.

"Mereka buat penyelidikan tentang tokoh-tokoh  berwarganegara Malaysia dari segi latar belakang mereka yang tidak dikenali di Malaysia tetapi terkenal di sana (luar negara)

"Informasi yang terdapat dalam internet dan dari kedutaan Malaysia di luar negara banyak membantu di dalam program ini.

"Selama tiga minggu krew penerbitan menjejaki tokoh-tokoh cemerlang ini di beberapa buah negara sekitar Eropah pada bulan Jun lalu," kata Mazlin.


Mazlin Nordin menunjukkan gambar salah seorang
tokoh dalam 'Potret Terbilang'
(Foto The Star)

Setelah usaha mencari mereka berjaya, empat orang krew yang terdiri daripada penolong penerbit dan wartawan penyiaran Norlizah Yusoff, Shahnun Hanif Suhaimi dan pembantu penerbitan Megat Nazaruddin Megat Mohd Ghazali termasuk Mazlin perlu menjalankan pengambaran bermula awal bulan lepas.

"Awal Ogos, krew penerbitan berada di Australia dan New Zealand selama 11 hari untuk pengambaran tokoh-tokoh yang cemerlang di negara ini.

"Cabaran yang dihadapi dari segi cuaca yang sekejap sejuk dan sekejap panas, selain itu sukar untuk hubungi dan bekerjasama dengan orang luar seperti pihak imigresen yang banyak bertanya," kata Mazlin.

Walaupun kejayaan yang ditonjolkan dalam program tersebut lebih banyak menonjolkan tokoh yang berada di luar negara, bagi Mazlin ini tidak bermakna ia menggalakkan masyarakat kita untuk berhijrah kerana "hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri".

"Hijrah untuk kebaikan tidak salah asal kita ingat jati diri kita.." akhiri Mazlin yang mempelajari banyak perkara hasil perkongsian pengalaman yang dilalui oleh tokoh.

Saksikan program dokumentari sempena 50 tahun Malaysia menyambut kemerdekaan, 'Potret Terbilang' menerusi siaran TV3 setiap hari Isnin, jam 7.30 malam mulai 17 September ini.



Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

13-6-2025 02:25 PM GMT+8 , Processed in 0.050255 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list