BATU refleksologi adalah sejenis terapi semula jadi yang mendapat perhatian masyarakat dari dahulu sehingga kini.
Kaedah ini digunakan terutamanya bagi mereka yang ingin menjaga kesihatan tanpa bergantung sepenuhnya kepada ubat-ubatan moden.
Terapi ini biasanya berjalan di atas susunan batu kecil yang diatur khas mengikut urutan, bertujuan untuk merangsang titik-titik tekanan di tapak kaki.
Kaedah ini bukan sahaja mudah dan murah, malah dipercayai memberikan pelbagai manfaat kesihatan secara menyeluruh.
Tapak kaki manusia mengandungi ratusan saraf dan titik refleksi yang berkait rapat dengan organ penting dalam badan seperti jantung, buah pinggang, hati, dan paru-paru.
Apabila kita berjalan di atas batu refleksologi, tekanan daripada batu-batu berkenaan akan merangsang titik-titik refleksi ini.
Rangsangan ini dipercayai dapat melancarkan peredaran darah, meningkatkan fungsi organ dalaman, meningkatkan fleksibiliti kaki, serta mengurangkan ketegangan dan tekanan.
Terapi batu refleksologi juga mampu membantu mengurangkan keletihan selepas seharian bekerja atau berdiri lama.
Ramai yang menyatakan, berasa lebih ringan dan segar selepas berjalan seketika di atas laluan batu refleksologi.
Batu-batu itu biasanya disusun di taman-taman awam atau laluan refleksi khas, dan ada juga individu yang membinanya sendiri di halaman rumah.
Manfaat lain termasuk membantu dalam meningkatkan keseimbangan badan dan postur, kerana berjalan di atas permukaan tidak rata memerlukan tumpuan serta kawalan otot lebih baik.
Ini secara tidak langsung melatih otot kaki, buku lali, dan bahagian bawah badan, menjadikannya salah satu bentuk senaman ringan yang sesuai untuk golongan tua dan muda.
Bagaimanapun, langkah berjaga-jaga perlu diambil, terutamanya bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan tertentu seperti diabetes atau luka di kaki.
Pemilihan batu sesuai dan laluan yang selamat amat penting bagi mengelakkan kecederaan.
Disarankan untuk bermula dengan tempoh singkat, dan sekiranya terasa sakit melampau, segera hentikan dan dapatkan nasihat pakar.
Terapi ini juga boleh mendatangkan bahaya jika tidak dilakukan dengan betul.
Susunan batu refleksologi juga memainkan peranan penting, terapi ini sebaiknya dimulakan dengan batu lebih besar dan tidak tajam diikuti, batu lebih kecil dan sedikit tajam untuk kesan rangsangan berperingkat.
Terapi semula jadi ini juga membantu meningkatkan peredaran darah dan merangsang organ dalaman, selain menawarkan ketenangan serta kesegaran kepada tubuh secara keseluruhan.
Dalam dunia yang serba moden ini, terapi batu refleksologi mengingatkan kita rawatan tradisional yang ringkas dan berasaskan alam semula jadi masih relevan dan berkesan. - BH ONLINE
|