
Pasukan penguat kuasa menjalankan pemeriksaan di salah sebuah premis di pekan Sungai Asap, baru-baru ini.
MIRI: Tujuh daripada 30 premis perniagaan di pekan Sungai Asap dikenakan notis pematuhan atas pelbagai kesalahan di bawah Ordinan Buruh Sarawak (Bab 76) dalam operasi bersepadu yang dijalankan oleh Pejabat Buruh Bakun, baru-baru ini.
Penolong Pengarah Kanan Pejabat Buruh Bakun Edwin Eddy berkata operasi itu dijalankan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Belaga, Pejabat Buruh Bintulu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Bintulu dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Bintulu.
Katanya, pemeriksaan itu dijalankan bertujuan memastikan pematuhan terhadap dasar gaji minimum baharu tahun 2025.
"Hasil pemeriksaan, kita dapati ramai majikan masih gagal mematuhi dasar berkenaan termasuk tidak menyediakan rekod gaji lengkap serta masih membayar gaji di bawah kadar minimum.
"Justeru, kita menasihati para majikan supaya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan terutama menjelang tarikh kuat kuasa dasar bagi majikan yang menggaji kurang daripada lima orang pekerja mulai 1 Ogos tahun ini," katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu menurut Edwin, operasi tersebut juga bertujuan meningkatkan kesedaran di kalangan majikan terhadap kepentingan mematuhi undang-undang buruh dan menjaga kebajikan pekerja.
Dalam pada itu, beliau memberitahu sebuah syarikat dikenakan kompaun RM9,000 kerana kelewatan membayar gaji para pekerja.
"Pembayaran gaji lewat merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 109 Ordinan Buruh Sarawak.
"Majikan wajib membayar gaji selewat-lewatnya pada hari ketujuh selepas tamat tempoh gaji bulanan," tegasnya.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada PERKESO dan KWSP Bintulu atas sokongan sepanjang operasi dijalankan.
|