
Tun Wan Junaidi (tiga kanan) bersama Toh Puan Fauziah merakam kenangan bersama Ahli Lembaga UNIMAS dan Ahmad Hata (dua kiri) pada Rumah Terbuka Aidilfitri UNIMAS hari ini.
KOTA SAMARAHAN: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi hadir memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) hari ini.
Majlis penuh warna-warni bertemakan ‘UNIMAS Raya Nusantara’ itu disertai lebih 2,000 orang termasuk warga universiti, pelajar serta tetamu kehormat.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, Naib Canselor UNIMAS Profesor Dr Ahmad Hata Rasit serta ahli Lembaga Pengarah universiti.
Rumah terbuka kali ini turut menerima kunjungan daripada wakil-wakil konsulat Indonesia, Brunei dan China, mencerminkan nilai perpaduan dan keterangkuman yang diraikan dalam semangat Aidilfitri.
Sebanyak 33 reruai berkonsepkan negara-negara Nusantara telah didirikan hasil kerjasama 55 Pusat Tanggungjawab (PTJ) UNIMAS, mempersembahkan kepelbagaian budaya serta sajian tradisional dari pelbagai rantau.
Pelbagai aktiviti turut diadakan, termasuk Pertandingan Teratak Terbaik yang menyaksikan kreativiti dan kerjasama antara warga kampus dalam menghias reruai masing-masing.
Ahmad Hata dalam ucapannya berkata, tema ‘Raya Nusantara’ dipilih bertepatan dengan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada tahun ini, sekali gus mengangkat elemen serantau dalam sambutan Hari Raya yang diraikan.
“UNIMAS sentiasa komited untuk memupuk perpaduan dan kefahaman antara budaya, sejajar dengan semangat Nusantara dan aspirasi ASEAN,” ujar beliau.
Majlis itu bukan sahaja menjadi wadah mempererat silaturahim dalam kalangan warga UNIMAS, malah turut memperkukuh hubungan diplomatik melalui penyertaan antarabangsa yang signifikan.
|