CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 69|Reply: 0

[Sarawak] Syarikat pembalakan didakwa ceroboh tanah NCR

[Copy link]
Post time 22-4-2025 08:39 AM | Show all posts |Read mode
Penduduk tuntut pampasan daripada syarikat pembalakan kerana ceroboh tanah di Blok 1, Lot 8, Sepali Land District



Kujat menunjukkan kawasan tanah NCR milik komuniti mereka yang didakwa diceroboh oleh aktiviti pembalakan haram di Kanowit.

KANOWIT: Jawatankuasa Tanah Sungai Kajah, di sini menuntut pampasan daripada sebuah syarikat pembalakan atas dakwaan menceroboh tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Blok 1, Lot 8, Sepali Land District.

Pengerusi jawatankuasa tersebut, Tuai Rumah Kujat Dudang berkata mereka turut mendesak Jabatan Hutan Sarawak menjalankan siasatan terhadap aktiviti pembalakan haram yang dipercayai berlaku sejak tahun 2022.

Menurutnya, penduduk mula menyedari kegiatan berkenaan pada tahun tersebut dan telah membuat laporan polis pada 23 Disember 2023.

“Satu rayuan rasmi juga telah dikemukakan pada awal tahun 2024 bagi mengecualikan kawasan ini daripada sebarang kelulusan lesen pembalakan.

“Namun sehingga kini, tiada tindakan tegas diambil,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Jelas beliau, tanah tersebut telah diwartakan secara rasmi di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak pada 30 Jun 2016 dan seterusnya diluluskan untuk pengukuran hak milik individu di bawah Seksyen 18 pada 22 Oktober 2020.

Beliau berkata, dua laporan susulan turut dihantar kepada Pengurus Besar Jabatan Hutan Wilayah Sibu, masing-masing pada 3 Mac 2024 dan 7 April 2025.

Salinan laporan berkenaan juga telah dikemukakan kepada beberapa pihak termasuk Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Namun, tiada maklum balas diterima daripada mana-mana pihak berkuasa mahupun syarikat pembalakan terbabit,” ujarnya.

Susulan itu, pada 16 April 2025, jawatankuasa berkenaan telah menghantar surat rasmi kepada Pengarah Hutan Sarawak di Kuching serta kepada syarikat terlibat yang beroperasi di Sibu, bagi menuntut tindakan segera.

Antara tuntutan yang dikemukakan termasuk bayaran pampasan penuh terhadap kerosakan akibat penebangan tanpa kebenaran, kehilangan biodiversiti serta kesan sosioekonomi terhadap komuniti; pendedahan semua dokumen dan pelan sempadan berkaitan kelulusan lesen LPF/0032; penggantungan serta-merta aktiviti pembalakan dan rampasan kayu balak di bawah Seksyen 98 Ordinan Hutan sementara siasatan dijalankan; pelaksanaan pengesahan sempadan secara bebas yang melibatkan agensi kerajaan, syarikat dan komuniti serta tindakan tatatertib dan perundangan terhadap mana-mana pegawai atau pihak berlesen yang didapati cuai atau bersubahat.

Kedua-dua pihak diberi tempoh 14 hari dari tarikh surat berkenaan untuk memberi maklum balas dan menyelesaikan isu tersebut.

Kujat turut mengesahkan bahawa tindakan undang-undang sedang dipertimbangkan.

Katanya pasukan peguam kini sedang meneliti kemungkinan berlakunya pelanggaran di bawah Seksyen 65(3) Ordinan Hutan 1965, Seksyen 5(3) Kanun Tanah Sarawak serta Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak terhadap harta.

“Tanah seluas 191 hektar ini merupakan warisan nenek moyang kami.

“Kayu-kayu itu tidak seharusnya diambil tanpa kebenaran,” tegasnya.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

1-6-2025 04:20 PM GMT+8 , Processed in 0.044858 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list