CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 66|Reply: 0

[Sarawak] Fadillah, Abang Johari bakal serikan sambutan Jubli Emas Rimbunan Hijau Group, 12-13 Mei

[Copy link]
Post time 22-4-2025 08:25 AM | Show all posts |Read mode


Tiong (tengah) menunjukkan isyarat bagus, selepas mengadakan sidang media hari ini.

SIBU: Sambutan Jubli Emas Rimbunan Hijau (RH) Group bakal diserikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada dua acara kemuncak yang dijadualkan pada 12 dan 13 Mei ini.

Timbalan Perdana Menteri dijangka hadir ke Malam Penghargaan dan Perayaan pada 12 Mei di Dataran Tun Tuanku Bujang, yang bakal menampilkan pertunjukan dron melibatkan 330 unit, pertunjukan bunga api selama 12 minit serta persembahan khas oleh penyanyi terkenal tanah air, Shila Amzah.

Manakala Premier Sarawak dijadual merasmikan pelancaran reka bentuk baharu dan kerja pengubahsuaian dalaman Menara Rimbunan Hijau pada pagi 13 Mei, sebelum menghadiri Majlis Makan Malam Gala Jubli Emas di Dewan Canselor, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) pada malam hari yang sama.

Pengarah Urusan Kumpulan RH Datuk Tiong Thai King berkata, sambutan ulang tahun ke-50 ini merupakan pencapaian yang amat bermakna yang menggambarkan kejayaan RH Group berkembang dari Sibu ke peringkat antarabangsa dalam pelbagai sektor perniagaan.

“Dengan sokongan semua pihak, dalam tempoh 50 tahun ini, RH Group telah bertapak kukuh di Sibu, melangkah keluar dari Sarawak dan Malaysia serta berjaya menembusi pasaran antarabangsa melalui pelbagai cabang perniagaan di seluruh dunia,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengasas kumpulan, Tan Sri Sir Tiong Hiew King yang telah meletakkan asas kukuh kepada syarikat serta kepada seluruh warga kerja yang sentiasa menunjukkan kesetiaan dan dedikasi tinggi dalam menghadapi pelbagai cabaran.

“Kita menyambut ulang tahun ini dengan penuh rasa syukur dan rendah diri dan berharap agar RH Group terus menyumbang lebih besar kepada ekonomi Sibu, Sarawak dan Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Besar Perhubungan Korporat Pejabat Pengarah Urusan Kumpulan RH Dato Thomas Tieng Mee Tung menyeru seluruh warga Sibu hadir beramai-ramai ke Dataran Bandar Sibu bagi memeriahkan sambutan kemuncak pada 12 Mei.

“Kami menjemput semua penduduk Sibu untuk membanjiri Dataran Tun Tuanku Bujang pada petang tersebut.

“Pelbagai acara menarik disediakan untuk seisi keluarga, termasuk persembahan gendang, pertunjukan bunga api, persembahan daripada Shila Amzah, persembahan sape oleh pemenang anugerah dunia, tarian singa dan tarian naga,” ujarnya.

Menurut beliau, sambutan itu bukan sahaja bertujuan meraikan ulang tahun penubuhan RH tetapi juga sebagai usaha memperkenalkan Sibu ke peringkat antarabangsa.

Beliau turut memaklumkan bahawa Larian Separuh Maraton RH Group yang dijadualkan berlangsung pada 4 Mei depan mencatat penyertaan seramai 3,044 peserta, termasuk lebih 60 peserta antarabangsa dari Kenya, Hong Kong, China, Singapura dan beberapa negara lain.

“Bagi kategori 21 kilometer, kita telah mempunyai 900 penyertaan dan ini mungkin merupakan rekod tertinggi dalam sejarah penganjuran separuh maraton di Sibu,” ujarnya.

Dalam pada itu, antara acara lain yang turut dianjurkan sempena sambutan tersebut termasuk Pertandingan Golf Jubli Emas dengan hadiah hole-in-one bernilai RM2.6 juta, Mini Sukan dan Larian Obor RH Group serta Seminar Awam bertajuk ‘My Destiny is in My Hands’ yang menampilkan tokoh media dan ilmuan dari Taiwan, Lei Chien Joanna.

Beberapa acara terdahulu turut berjaya dianjurkan seperti Pertandingan Pengetahuan Am Kakitangan, kempen derma darah, pertandingan badminton, pingpong, karaoke, bola keranjang serta sumbangan peralatan perubatan bernilai RM100,000 kepada Hospital Sibu.

“Kami amat menghargai sokongan semua pihak dan daripada peserta, masyarakat tempatan dan seluruh pasukan kerja yang menjayakan sambutan ini. Semoga Kumpulan RH terus melangkah ke hadapan bersama seluruh warga Sibu,” kata beliau.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

1-6-2025 04:22 PM GMT+8 , Processed in 0.043622 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list