Edited by sfhzuraz at 17-4-2025 04:21 PM
Wanita tabah jaga anak hidap kanser, suami sakit jantung
Oleh Zuliaty Zulkiffli - April 17, 2025 @ 1:33pm

Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal (kiri) berbual dengan Umi Najiha Abdullah yang memangku anaknya, Muhammad Fayadh Mohamad Hafiszul, 7, yang menghidap kanser darah. - Foto/ZULIATY ZULKIFFLI
SUNGAI PETANI: "Sebaik mengetahui anak bongsu disahkan menghidap kanser darah, dunia saya menjadi gelap memandangkan suami pula menghidap penyakit jantung.
"Dengan keadaan sekarang, saya agak tertekan apabila melihat dua insan tersayang kini menderita sakit," kata Umi Najiha Abdullah, 33.
Katanya, kegembiraan yang dilaluinya bersama dua anak dan suaminya kini berubah sekelip mata apabila anak bongsunya, Muhammad Fayadh Mohamad Hafiszul, 7, disahkan menghidap kanser darah, Februari lalu.

Umi Najiha Abdullah bersama anaknya, Muhammad Fayadh Mohamad Hafiszul, 7, yang menghidap kanser darah. - Foto NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI.
Dalam masa sama pula, suaminya, Mohamad Hafiszul Md Radzi, yang menghidap penyakit jantung kini sedang menunggu untuk menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN).
"Sebelum ini saya hanya menjalankan perniagaan kecilan di hadapan rumah dengan menjual burger dan makanan ringan untuk menyara keluarga.
"Suami pula bekerja sebagai pembantu tadbir tetapi dengan keadaan kesihatannya tidak menentu, dia tidak mampu melakukan kerja berat malah adakalanya terpaksa mengambil cuti jika kesihatannya terganggu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bandar Baru, di sini semalam.
Menurut Umi Najiha, anak bongsunya pula, Muhammad Fayadh dikesan menghidap kanser darah selepas lehernya bengkak, Februari lalu.
Katanya, dia kemudian membawa anaknya menjalani rawatan di Klinik Kesihatan Sungai Lalang dan Muhammad Fayadh perlu dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) selepas didapati kandungan darah putih dalam badannya agak tinggi.
"Anak saya dimasukkan ke wad HSAH selama enam hari selepas menjalani ujian darah dan selepas itu dia dibenarkan pulang.
"Namun, apabila doktor memaklumkan hasil ujian darah yang dilakukan itu mendapati darah putih dalam badan anak masih tinggi, dia perlu dihantar segera ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan rawatan susulan.
"Ketika itu, doktor mengesahkan anak saya menghidap kanser darah selepas mengambil air tulang belakang dan selepas itu perlu menjalani rawatan susulan di HPP," katanya.
Umi Najiha berkata, pada masa sama, ketika itu suaminya pula dihantar ke IJN selepas keadaan kesihatannya agak merosot.
Katanya, pada ketika itu dia hanya mampu berserah pada Allah apabila diberi ujian selepas kedua-dua insan tersayang dimasukkan ke hospital.
"Syukur alhamdulillah, saudara-mara ada yang pergi melawat suami di sana ketika itu manakala saya pula menjaga Muhammad Fayadh di HPP dan anak sulung pula, Muhammad Naufal, 12, dijaga neneknya.
"Sejak itu saya tidak dapat meneruskan perniagaan menyebabkan pendapatan terjejas kerana menjaga anak sedangkan saya tidak mempunyai pekerjaan tetap," katanya.
Menurutnya lagi, Muhammad Fayadh perlu menjalani rawatan susulan di HPP sebanyak empat kali seminggu dan sudah tentu memerlukan wang yang banyak untuk berulang alik ke sana.
Katanya, setakat ini, anaknya sudah menjalani dua pusingan rawatan kemoterapi di sana.
"Muhammad Fayadh tidak dapat meneruskan persekolahannya di tahun satu kerana keadaan kesihatannya terganggu selain perlu berulang alik ke hospital.
"Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini kami terpaksa menyambutnya di hospital di Pulau Pinang kerana Muhammad Fayadh perlu menjalani rawatan susulan di sini.
"Saya juga perlu kuat kerana anak sulung juga perlukan perhatian dan masih bersekolah," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM) Zuraini Kamal menghulurkan sumbangan wang tunai melalui Tabung Sedekah Jumaat CSM serta barangan keperluan dapur untuk meringankan beban yang dipikul keluarga pesakit.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/04/1385611/wanita-tabah-jaga-anak-hidap-kanser-suami-sakit-jantung
|