
Harden (duduk dua kanan), Sim (duduk kanan) dan Anielia (duduk dua kiri) merakamkan gambar bersama peserta bengkel.
KUCHING: Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis menggalakkan para pelajar untuk memberi fokus kepada subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Berucap merasmikan Bengkel Keusahawanan bagi Pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di Auditorium Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak di sini hari ini, Harden berkata inisiatif pendidikan percuma Sarawak akan bermula tahun depan.
Kursus pengajian berkaitan STEM katanya adalah antara yang disenarai dibawah insiatif pendidikan percuma itu dan atas sebab itu beliau mahu pelajar fokus dalam subjek STEM.
“Jika keputusan pemeriksaan anda dalam subjek STEM bagus saya pasti universiti seperti Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak yang dimilik Kerajaan Sarawak akan menerima permohonan kemasukan anda,” katanya.
Mengenai bengkel tersebut, Harden berkata ia bukan sekadar satu program latihan, malah merupakan platform yang membangkitkan idea, menyuburkan impian serta memperkenalkan dunia keusahawanan kepada para pelajar.
“Keusahawanan bukan hanya tentang memulakan perniagaan. Ia tentang melihat peluang di sebalik cabaran, menyelesaikan masalah yang penting sama ada di sekolah, komuniti atau di peringkat global,” katanya.
Harden (tengah) menyampaikan cenderamata kepada salah seorang guru mewakili sekolah dan pelajar terlibat.
Dalam pada itu bengkel keusahawanan yang penuh inspirasi itu telah disertai seramai 101 pelajar dan 13 orang guru dari sembilan buah sekolah menengah dari sekitar Kuching dan Bau.
Sekolah terlibat SMK Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor, SMK Matang Jaya, SMK Green Road, SMK St Theresa, SMK Batu Lintang, SMK Pending, SMK (A) Sheikh Haji Othman Abdul Wahab, SMK St Joseph dan SMK Bau.
Harden turut menyifatkan penganjuran bengkel ini tepat pada masanya selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) Sarawak 2030.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada para guru, fasilitator dan rakan strategik yang telah menjayakan bengkel ini.
Hadir sama Timbalan Naib Pro-Canselor (Akademik) Swinburne Sarawak, Prof Sim Kwan Yong dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Anielia Siam.
|