Edited by Vellfire at 12-4-2025 12:02 PM

Dr Sim mendengar taklimat daripada pengerusi majlis, Profesor Madya Dr Aini Fahriza Ibrahim (tiga kiri) mengenai pameran yang diadakan sempena Kempen Kesedaran Kanser Kolorektral di HUS, hari ini. - Gambar Mohd Faisal Ahmad
KUCHING: Mesyuarat jawatankuasa teknikal pertama bagi pembinaan Hospital Kanser Sarawak dijadualkan berlangsung minggu depan, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Menurut beliau, mesyuarat yang dinanti-nantikan itu bakal menghimpunkan Menteri Kesihatan, Menteri Kerja Raya serta agensi berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia yang bertanggungjawab terhadap pembinaan hospital berkenaan.
“Akhirnya, mesyuarat pertama jawatankuasa teknikal akan diadakan. Saya kebetulan ada mesyuarat dengan Menteri Kesihatan minggu depan mengenai hospital kanser kita.
“Jadi, sekurang-kurangnya kita sudah ada titik permulaan untuk gerakkan projek ini,” ujarnya ketika ditemui selepas merasmikan Kempen Kesedaran Kanser Kolorektral yang dihadiri Pengarah Hospital Umum Sarawak (HUS) Dr Ngian Hie Ung di Ruang Foyer Pusat Rawatan Harian Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, hari ini.
Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam pada itu turut menggesa Kerajaan Persekutuan agar kuasa penuh berkaitan hal ehwal kesihatan diserahkan kepada Sarawak menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS).
Katanya, Kerajaan Persekutuan perlu menyalurkan peruntukan terus kepada Sarawak dan membenarkan kerajaan negeri menjadi penerima utama dana kesihatan tahunan melalui JKNS.
“Kita mahu kuasa utama dalam pelaksanaan kesihatan supaya dapat membuat keputusan sendiri termasuk dalam hal pendaftaran dan pengiktirafan doktor.
“Tanpa kuasa itu, walaupun kita ambil alih hospital, kita masih tiada kuasa terhadap doktor,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai perkembangan terkini rundingan berkaitan penurunan kuasa dalam sektor kesihatan, termasuk yang dibincangkan menerusi beberapa jawatankuasa perubatan dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
Dr Sim turut menekankan masalah kekurangan 2,000 doktor di Sarawak berpunca daripada standard kebangsaan yang tidak mengambil kira keperluan sebenar negeri ini.
“Penduduk Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya 2,000 lagi doktor. UNIMAS (Universiti Malaysia Sarawak) hanya melahirkan 150 doktor setahun, dan bukan semuanya anak Sarawak.
“Dalam tempoh 10 tahun, hanya 1,500 akan dihasilkan, sedangkan ramai doktor juga bersara,” jelasnya.
Mengulas lanjut mengenai peralatan di Hospital Limbang, beliau memaklumkan peralatan kolonoskopi di hospital itu kini tidak berfungsi dan berjanji akan membawa perkara tersebut kepada perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mesyuarat minggu depan.
“Saya kebetulan akan menghadiri mesyuarat teknikal pertama bersama Menteri Kesihatan dan JKR berkaitan Hospital Kanser Sarawak. Ini peluang untuk kita bawa isu-isu tertunggak ke peringkat pusat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Sim berkata beliau turut membangkitkan isu 8,161 jururawat dan penolong pegawai perubatan (MA) dari Sarawak yang kini berkhidmat di Semenanjung Malaysia dan menyatakan hasrat untuk kembali ke negeri asal.
“Isu ini turut saya kemukakan dalam pertemuan bersama Menteri Kesihatan berkaitan MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) sebelum ini.
“Ramai tenaga kerja kesihatan anak Sarawak mahu pulang, tetapi kekangan penempatan dan sistem sedia ada menjadi halangan,” jelasnya.
|