
TAHAN: Suspek ditahan polis dari Balai Polis Bombalai, pada jam 1.15 tengah hari Khamis di rumahnya di Kampung Merotai.
TAWAU: Seorang lelaki mengalami kecederaan selepas ditetak oleh rakannya yang dipercayai mabuk di Kampung Simpang Tiga, Jalan Tanah Merah, Merotai, di sini, Selasa lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.15 malam itu, mangsa berusia 49 tahun cedera di bahagian tangan, lengan sebelah kanan, bahagian belakang dan badan.
Katanya, ketika kejadian mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek mahu berjumpa untuk menyelesaikan satu urusan.
"Setibanya di lokasi pertemuan, mangsa diserang oleh suspek yang pada ketika itu sedang mabuk menggunakan sebilah parang dan menetak mangsa.
"Akibat daripada kejadian itu, mangsa yang cedera mengalami trauma dan mendapatkan rawatan di Klinik kesihatan berhampiran," katanya dalam kenyataan media di sini.
Menurutnya, suspek berusia 30 tahun ditahan sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai, pada jam 1.15 tengah hari Khamis di rumahnya di Kampung Merotai, bersama sebilah parang dipercayai digunakan ketika kejadian berkenaan.
"Siasatan awal juga mendapati suspek adalah warga asing yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk tinggal di negara ini.
"Suspek bersama barang rampasan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut," katanya.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata.
|