
Abang Johari menyampaikan ucapannya pada Majlis Ramah-Tamah Hari Raya Aidilfitri Bahagian Sibu Bersama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak di Sibu, malam Jumaat.
SIBU: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan persetujuannya untuk memperuntukkan dana bagi merealisasikan pembinaan jambatan baharu dengan jolokan ‘Jambatan London’ di Sibu.
Jambatan ikonik itu yang dicadangkan sebelum ini akan menghubungkan kawasan barat Sibu dengan pusat bandar ini.
Menurutnya, kawasan barat Sibu berpotensi untuk dibangunkan dengan pertanian apabila jambatan itu dibina kelak.
“Jadi saya dan rakan-rakan akan mencari bajetlah untuk membangunkan jambatan yang kita lihatkan tadi (lakaran lukisan cadangan jambatan).
“Mudah-mudahan ia menjadi kenyataan. Kalau itu berlaku, memanglah potensi ekonominya akan meningkat.
“Kerana kita tahu kawasan di sebelah barat Sibu boleh dibangunkan. Termasuklah sektor pertanian.
“Tanah tersebut memang kita tahu ada potensinya, iaitu (untuk) industri getah dan industri yang berteraskan kepada pertanian.
“Saya meminta sama-sama kita berdoa agar kita dapat membangunkan jambatan ‘London Bridge’ untuk Sibu,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah-Tamah Hari Raya Aidilfitri Bahagian Sibu Bersama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini, malam Jumaat.
Abang Johari (dua kanan), Asfia (kanan), Dr Annuar (dua kiri), Toh Puan Fauziah (tiga kiri) serta yang lain menyaksikan Tun Wan Junaidi (tengah) melakukan simbolik Majlis Ramah-Tamah Hari Raya Aidilfitri Bahagian Sibu, malam Jumaat. - Gambar UKAS
Sementara itu, Abang Johari turut menyokong cadangan mewujudkan sekolah menengah baharu iaitu Sekolah Menengah Abang Ali di Sibu oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapa'ee.
“Kita (akan) berbincang dengan kerajaan persekutuan. Dr Annuar sendiri juga adalah Timbalan Menteri Pendidikan. Sama ada boleh atau tidak.
“Kita boleh membinanya menggunakan dana sendiri tetapi kerajaan persekutuan haruslah membayar balik.
“Saya mesti bangunkan sekolah Abang Ali ini kerana isteri saya pernah bersekolah di sana,” katanya lagi.
Berhubung projek perumahan di Sibu untuk pasangan muda, iaitu untuk pasangan yang baru berkahwin, Abang Johari turut memberi jaminan bahawa projek itu akan dilaksanakan.
“Pendapatan Sarawak meningkat setiap tahun sejak saya menjadi ketua anda (Premier Sarawak). Itu sebab saya berani (laksanakan projek untuk Sibu) kerana saya tahu kedudukan kewangan kita.
“Itu sebab saya minta kita semua teruskan bersatu padu dengan keharmonian yang sudah terjalin ini agar perpaduan ini dapat kita pertahankan agar masa depan kita cerah dan pendapatan bertambah,” tegasnya lagi.
Abang Johari mengulangi bahawa Sarawak terus mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila beliau akan dijemput untuk berucap mengenai ekonomi hidrogen di China.
“Ini adalah keyakinan dunia terhadap Sarawak. Ekonomi kita berkembang kerana perpaduan, wawasan dan keupayaan kita untuk menguruskan sumber kita dengan bijak,” tambahnya lagi.
Hadir sama ialah Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar serta tetamu kehormat lain.
Lakaran lukisan Jambatan Sibu yang dicadangkan seperti Jambatan London.
|