Edited by sfhzuraz at 28-3-2025 01:06 AM
Pemandu parah kereta, bas kemalangan ketika hujan lebat
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Mac 27, 2025 @ 7:33pmbhnews@bh.com.my

Kemalangan membabitkan sebuah kereta dan bas kilang di hadapan Pejabat JKR Baling ketika hujan lebat, hari ini. - Foto ihsan bomba
BALING: Sebuah bas membawa 18 pekerja kilang, terbabit kemalangan dengan sebuah kereta dalam keadaan cuaca hujan lebat di hadapan Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Baling, di sini, hari ini.
Insiden berlaku ketika bas itu dikatakan sedang dalam perjalanan dari Kampung Lalang, Siong, menuju ke sebuah kilang di Seberang Prai, Pulau Pinang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.47 petang tadi.
Susulan itu, katanya, sepasukan lapan anggota dari BBP Baling dengan diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Muhammad Yunus Ali bergegas ke lokasi.
Beliau berkata, perlanggaran itu menyebabkan pemandu kereta jenis Proton Saga FLX berusia 53 tahun parah akibat tersepit di tempat duduknya.
"Operasi mengeluarkan mangsa tersepit itu mengambil masa hampir 15 minit. Pemandu kereta terbabit cedera sehingga menampakkan tulang kaki kanannya.
"Walaupun berdepan cabaran keadaan hujan lebat dan kilat sabung-menyabung, pasukan menjalankan operasi itu dengan berhati-hati bagi mengelak kecederaan lebih teruk pada mangsa.
"Mangsa kemudian dihantar menggunakan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) BBP Baling ke Hospital Baling untuk rawatan," katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun, beliau berkata, pemandu dan 18 pekerja kilang yang menaiki dalam bas itu terselamat dalam nahas berkenaan.
"Kemalangan itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/03/1377820/pemandu-parah-kereta-bas-kemalangan-ketika-hujan-lebat
|