Pasukan bomba membuat pemeriksaan di lokasi kejadian di Stesen Janakuasa Tuanku Jaafar - Foto: Bomba
PORT DICKSON - Kebocoran gas pada saluran paip HRSG/PD2A di Stesen Janakuasa Tuanku Jaafar di sini dipercayai punca berlakunya letupan pada malam Khamis.
Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Kamal Mohd Timar berkata, letupan jam 9.09 malam terbabit bagaimanapun tidak melibatkan kebakaran pada struktur bangunan.
"Kebakaran tidak melibatkan struktur bangunan dan struktur khas pada stesen janakuasa.
"Siasatan lanjut masih dilakukan dan bacaan O2 atau oksigen di luar bangunan didapati dalam keadaan terkawal dan normal," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Kebakaran bagaimanapun tidak melibatkan struktur bangunan dan struktur khas pada stesen janakuasa - Foto: Bernama Menurutnya, kejadian berlaku turut melibatkan mangsa.
Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam kenyataan di Facebook TNB CareLine memaklumkan kebakaran telah dipadam dan setakat malam tadi, tiada sebarang kecederaan kepada warga kerjanya mahupun orang awam.
Katanya, TNB sedang bekerjasama dengan bomba untuk meneruskan siasatan dan langkah kawalan keselamatan telah diambil.
"Pasukan teknikal sedang menjalankan kerja-kerja pemeriksaan serta pemulihan yang diperlukan.
Pasukan bomba berjaya memadam kebakaran dan tiada sebarang kecederaan kepada warga kerjanya mahupun orang awam dilaporkan. - Foto: Bomba
"Secara keseluruhan operasi stesen janakuasa berada dalam keadaan terkawal. Kami akan terus memberikan maklumat terkini apabila terdapat perkembangan baharu," katanya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, kejadian berlaku turut mengejutkan penduduk daerah ini terutama yang tinggal di kawasan sekitar apabila turut mendengar bunyi letupan dan merasai gegaran.
TNB turut mengesahkan berlaku kebakaran di stesen terbabit, namun kejadian dalam keadaan terkawal.
|