Johan sedia 'berperang' lawan Paez
Oleh Helmi Talkah - Jun 1, 2025 @ 5:22pm

Johan Ghazali akan menentang petarung Colombia-Amerika, Diego Paez. - Foto ONE Championship
KUALA LUMPUR: Usia bukan penghalang buat jaguh muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar untuk membuktikan kemampuan sebenar apabila turun menentang petarung Colombia-Amerika, Diego Paez, pada ONE Fight Night 32 di Stadium Lumpinee, Bangkok, Sabtu depan.
Meskipun baru berusia 19 tahun dan bakal menentang lawan yang 13 tahun lebih berpengalaman, atlet sensasi negara yang mesra disapa Jojo itu menegaskan dia sudah bersedia 'berperang' dan membawa pulang kemenangan buat Malaysia.
"Saya tahu lawan kali ini bukan mudah. Dia lebih berpengalaman dan usianya pun jauh lebih matang. Tapi Jojo tidak akan gentar.
"Saya mohon semua rakyat Malaysia doakan kejayaan ini, bukan untuk Jojo seorang, tapi untuk negara," katanya.
Tambah Johan, pertemuan itu menjadi pentas terbaik buatnya membuktikan bahawa bakat muda dari Malaysia mampu bersaing di peringkat dunia.
"Jojo akan buktikan bahawa Malaysia boleh. Jojo nak buktikan kepada semua yang sentiasa percayakan Jojo selama ini," katanya.
Mengulas mengenai persiapannya menjelang aksi itu, Johan berkata segala perancangan berjalan lancar dan dia berada pada tahap terbaik dari segi fizikal serta mental.
Sebagai rekod, Johan sudah menyertai lapan perlawanan dalam ONE Championship, dengan mencatat enam kemenangan termasuk lima menerusi KO, dan dua kekalahan.
Sementara itu, Paez yang tewas menerusi keputusan split decision kepada Sean "The One" Climaco pada ONE Fight Night 28, mengakui dia menjangkakan pertarungan sengit menentang Jojo.
"Johan bukan lawan yang mudah. Dia adalah bakat muda muay thai paling menyerlah ketika ini," kata Paez kepada laman rasmi ONE Championship.
Petarung berusia 31 tahun dari California itu turut menyifatkan aksi bertemu Jojo sebagai satu perlawanan yang akan mengujinya secara fizikal dan mental.
"Saya sebenarnya teruja. Perlawanan ini membakar semangat saya. Dia bukan saja popular, tapi gaya pertarungannya juga agresif. Kadang-kadang saya suka bila kena pukul, ia buat saya lebih sedar dan fokus," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2025/06/1403395/johan-sedia-berperang-lawan-paez
|