Kennedy muncul pelari kedua Australia catat bawah 10 saat
Jun 1, 2025 @ 12:55pm

Pelari Australia, Lachlan Kennedy (kanan) menjuarai acara 100m lelaki pada kejohanan Klasik Kip Keino dengan masa 9.98s. – Foto AFP
NAIROBI: Lachlan Kennedy melakar sejarah muncul pelari pecut pertama Australia dalam tempoh lebih dua dekad berjaya mencatat masa di bawah 10 saat secara sah dalam acara 100 meter apabila menjuarai acara pecut pada Kejohanan Klasik Kip Keino di Nairobi, semalam.
Kennedy melintasi garisan penamat dengan masa 9.98s, sekali gus menyertai pemegang rekod kebangsaan Patrick Johnson sebagai satu-satunya rakyat Australia yang berlari di bawah 10s – dan yang pertama melakukannya dalam tempoh 22 tahun.
"Saya hadir untuk menang hari ini dan bawa pulang kejayaan dan saya amat teruja dengan kemenangan dan catatan masa itu," kata Kennedy.
"Ia amat menakjubkan. Akhirnya saya boleh kata saya berlari 9 saat! Saya tidak mahu tergesa-gesa atau beri tekanan kepada diri sendiri. Saya ambil setiap perlumbaan seperti biasa dan tahu masanya akan tiba juga."
Kennedy sebelum ini bersaing rapat dengan pelari remaja sensasi, Gout Gout untuk muncul pelari pertama Australia memecahkan had 10s sejak Johnson mencatat rekod kebangsaan 9.93s pada Kejohanan Mito International di Jepun pada tahun 2003.
Gout pernah mencatat masa bawah 10s dalam keadaan dibantu angin, namun Kennedy muncul yang pertama melakukannya secara sah, selepas sebelum ini mencatat masa 10.00s dalam saringan Kejohanan Australia di Perth pada April lalu.
"Saya semakin baik dalam setiap perlumbaan," kata Kennedy, 21, kepada Australian Athletics.
"Ia satu kelebihan apabila saya berdepan musim yang panjang di tanah air. Saya tidak rasa letih, jadi saya teruja mahu lihat apa yang saya boleh capai kemudian nanti apabila saya semakin hampir ke Kejohanan Dunia." – REUTERS
https://www.bharian.com.my/sukan/olahraga/2025/06/1403292/kennedy-muncul-pelari-kedua-australia-catat-bawah-10-saat
|