Indonesia sedia jalin hubungan jika Israel iktiraf Palestin negara merdeka Presiden Indonesia, Prabowo Subianto (dua dari kanan) menyambut rakan sejawatnya dari Perancis, Emmanuel Macron (dua dari kiri) semasa majlis makan malam negara di Jakarta, Indonesia. – Foto AFP
JAKARTA: Indonesia sedia mengiktiraf Israel sekiranya Tel Aviv turut mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka, kata Presiden Indonesia Prabowo Subianto.
Beliau, dalam sidang media bersama Presiden Perancis Emmanuel Macron, berkata perlu ada pengiktirafan terhadap kedaulatan Palestin dan jaminan keselamatan bagi negara itu.
"Sebaik sahaja Israel mengiktiraf Palestin, Indonesia bersedia untuk mengiktiraf Israel, dan kami juga bersedia membuka hubungan diplomatik dengan Israel.
Kami juga sanggup menghantar pasukan pengaman kami ke wilayah terbabit," katanya. Beliau turut menegaskan pendirian Indonesia bahawa penyelesaian dua negara dan penubuhan negara Palestin merdeka adalah satu-satunya jalan damai bagi konflik yang berlarutan puluhan tahun dan meletus kembali pada 7 Oktober 2023.
Kedua-dua pemimpin mengadakan sidang media bagi menutup sesi perbincangan dua hala dan menandatangani beberapa perjanjian kerjasama strategik.
Antaranya termasuk bidang pertahanan, keselamatan, budaya, ekonomi kreatif, pengangkutan bandar dan tenaga. Majlis itu turut menandakan ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik kedua-dua negara yang berlangsung di Istana Presiden pada pagi 28 Mei.
Dalam sidang media yang sama, Macron berkata kedua-dua negara berkongsi pandangan yang sama dalam menangani krisis global utama.
Ia termasuk penyelesaian dua negara bagi menyelesaikan konflik Palestin-Israel sambil mengiktiraf hak Israel untuk mempertahankan diri.
"Hanya penyelesaian politik yang dapat membawa dan mewujudkan keamanan jangka panjang," katanya.
Tambah Macron, Perancis akan menjadi tuan rumah bersama Arab Saudi bagi satu persidangan mengenai konflik Gaza yang akan diadakan di New York.
Ia bertujuan memberi 'dorongan baharu' bagi mengiktiraf kedua-dua negara Palestin dan Israel serta hak mereka untuk wujud secara aman, dengan Prabowo menegaskan Indonesia akan menyokong langkah itu.
Seterusnya, Macron dijadualkan bertolak ke Yogyakarta di mana beliau dijangka mengunjungi akademi tentera di Magelang.
Macron dijadualkan berlepas ke Singapura sebagai destinasi ketiga dan terakhir dalam lawatan beliau ke Asia Tenggara yang bermula di Vietnam pada 25 Mei lalu. - AGENSI
|