SIKAP profesional penyanyi Shakira mendapat pujian ramai apabila dia tetap meneruskan persembahan selepas terjatuh di atas pentas.
Enggan menghampakan peminat, Shakira, 48, dilihat cuba menahan kesakitan akibat tergelincir ketika menyanyi lagu popularnya berjudul Wherever Whenever.
Kejadian itu berlaku semasa konsert jejalah dunia Las Mujeres Ya No Lloran bertempat di Montreal, Canada pada 20 Mei lalu.
Sedang asyik penyanyi itu menari, dia tiba-tiba hilang keseimbangan sebelum tergelincir.
Dia bagaimanapun tetap tersenyum dan tenang sambil meneruskan persembahan seolah-olah tiada apa berlaku.
Video kejadian itu mula tular di laman X dan rata-rata peminat kagum dengan semangat yang ditunjukkan Shakira.
“Contoh penyanyi yang mempunyai daya tahan hebat. Saya harap dia (Shakira) tidak cedera.
“Dia mempunyai kelas tersendiri apabila terjatuh di atas pentas. Dia mampu bangun sambil tersenyum meneruskan persembahan,” ujarnya peminat.
Shakira kini terlibat dalam siri jelalah konsert berkenaan sejak Februari lalu bagi mempromosikan album baharunya. - mStar
|