PETALING JAYA: Hospital Kuala Lumpur (HKL) menerima pengiktirafan sebagai salah seorang sebuah Hospital Terbaik Dunia 2025 oleh Newsweek dan Statista.
HKL memperoleh skor 84.97 peratus sekali gus meletakkan fasiliti kesihatan itu berada kedudukan keempat dalam kalangan 49 Hospital Terbaik Dunia di Malaysia.
Meskipun berada keempat, namun HKL merupakan hospital kerajaan yang menduduki tangga pertama dalam senarai tersebut dan disusuli Pusat Perubatan Universiti Malaysia, Hospital Umum Sarawak dan Hospital Putrajaya.
Senarai itu dikeluarkan oleh Newsweek merupakan majalah berita mingguan berpengaruh yang berpusat di New York City, Amerika Syarikat manakala Statista sebuah syarikat teknologi maklumat dari Jerman yang menyediakan platform statistik dalam talian.
Pengiktirafan berprestij ini adalah hasil daripada penilaian bebas dan telus berdasarkan parameter utama berikut cadangan dan penilaian daripada rakan-rakan profesional perubatan, metrik kualiti hospital dan pengalaman pesakit
Hospital Kuala Lumpur atau HKL dahulunya dikenali sebagai Hospital Besar Kuala Lumpur, telah ditubuhkan pada tahun 1870 dan kini telah berusia lebih 150 tahun.
Berkeluasan 150 ekar di pusat Bandaraya Kuala Lumpur, HKL merupakan hospital terbesar di bawah Kementerian Kesihatan.
HKL menawarkan perkhidmatan perubatan cemerlang sejak penubuhannya sejajar dengan misi dan visi sebagai sebuah fasiliti penjagaan kesihatan awam.
Hospital itu berperanan sebagai pusat rujukan kebangsaan bagi pelbagai bidang kepakaran dan sub-kepakaran, pusat latihan dan kemahiran bersasar bagi pelajar perubatan siswazah dan lepasan siswazah dan salah sebuah pusat penyelidikan klinikal utama Kementerian Kesihatan. – UTUSAN
|