SHAH ALAM - Detik cemas dialami seorang lelaki apabila kucing peliharaannya tersekat dalam lampu kereta sehingga terpaksa bergegas ke Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Johor untuk mendapatkan bantuan.
Peristiwa tersebut diceritakan semula oleh salah seorang anggota bomba yang terlibat, Muhd Amirullah Sahbari, 30, yang berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi pada Rabu lalu apabila lelaki itu datang dalam keadaan panik sambil membawa kucingnya yang tersepit.
Katanya, lelaki itu turut ditemani adiknya semasa hadir ke balai bomba dan memaklumkan bahawa kepala kucing yang dikenali sebagai ‘Oyen’ tersekat dalam lampu sebuah kereta.
“Ketika kejadian, tuan Oyen datang dalam keadaan cemas dan berkata, ‘mohon bantuan daripada pihak bomba untuk selamatkan kucing saya.’
“Tanpa membuang masa, kami terus membuat penilaian awal atau ‘size up’ bagi mengenal pasti risiko dan bahaya sebelum menjalankan kerja-kerja penyelamatan terhadap kucing tersebut.
“Oyen memang sudah tersekat dalam bahagian lampu sebuah kereta. Seperti dalam video itu, tuannya terus datang dengan membawa sekali bahagian lampu tersebut,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Menurutnya, walaupun tersekat dalam lampu kereta, Oyen tetap berada dalam keadaan tenang sepanjang proses penyelamatan dilakukan.
Jelasnya yang telah tujuh tahun berkhidmat dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), operasi menyelamat itu melibatkan enam anggota bomba dengan hanya menggunakan satu peralatan.
“Keadaan Oyen semasa hadir ke balai sangat tenang.
“Alhamdulillah, selepas penyelamatan dilakukan, Oyen tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muhd Amirullah berkata, sebagai anggota bomba, beliau sentiasa bersedia memberikan bantuan dalam apa jua situasi termasuk melibatkan haiwan peliharaan.
“Saya juga ingin mengingatkan pemilik haiwan peliharaan agar sentiasa berhati-hati, menyayangi dan menjaga haiwan masing-masing dengan baik bagi mengelakkan sebarang insiden berbahaya berlaku,” katanya. - SINAR HARIAN
|