Batu Pahat: Pekerja pengurusan mayat didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menyimbah simen ke atas rumah bekas teman wanitanya, Isnin lalu.
Tertuduh Ah Soi @nah Ah Soi, 74, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa melakukan khianat dengan cara menyimbah simen ke rumah wanita warga emas berusia 63 tahun di Parit Besar, di sini, jam 11.57 pagi pada 5 Mei lalu.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, di mana boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-dua, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa melihat melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tertuduh sedang menyimbah simen di hadapan dan belakang rumah.
Siasatan mendapati insiden berlaku apabila tertuduh menuntut wang RM50,000 daripada mangsa yang digunakan untuk kerja mengubahsuai rumah bekas teman wanitanya.
Bagaimanapun, bekas teman wanita tertuduh sudah menjual rumah itu sebaik mereka memutuskan hubungan.
Tindakan itu menyebabkan tertuduh kecewa dan marah pada wanita itu sebelum bertindak mengambil simen lalu menyimbah ke rumah berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan, manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan.
Selain hukuman denda, mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayarnya. Tertuduh kemudian membayar denda terbabit. - HARIAN METRO
|