LIMA: Sebuah bukit misteri di tengah-tengah Hutan Amazon mungkin merupakan piramid purba terbesar pernah dibina dalam sejarah peradaban manusia, menurut dakwaan beberapa pihak termasuk masyarakat pribumi dan penyelidik bebas.
Formasi unik yang dinamakan Cerro El Cono itu terletak di Taman Negara Sierra del Divisor, berhampiran Sungai Ucayali di wilayah Amazon, Peru dengan ketinggian mencecah 399 meter, bentuknya yang menyerupai piramid dengan permukaan yang rata mengundang pelbagai teori dan perdebatan.
Berbeza dengan banjaran gunung lain di rantau itu, Cerro El Cono tersergam indah secara bersendirian di kawasan hutan yang rata sepenuhnya seolah-olah ia muncul bukan dari fenomena alam semula jadi, tetapi hasil kerja tangan manusia silam.
Walaupun ahli geologi menyifatkan formasi tersebut sebagai satu fenomena geologi semula jadi, berkemungkinan sisa gunung berapi atau bongkah batuan beku bawah tanah, komuniti pribumi tempatan pula menganggap Cerro El Cono sebagai gunung keramat yang melindungi mereka, dan menyebutnya sebagai ‘Apu Andean’, roh gunung suci yang disembah sejak zaman pra-Inka, antara tahun 500 hingga 1000 Masihi.
Portal berita La República melaporkan para penyelidik bebas yang memetik cerita rakyat pribumi percaya Cerro El Cono adalah struktur binaan manusia sama seperti Piramid Agung Giza di Mesir.
Jika dakwaan itu terbukti benar, maka Cerro El Cono akan mengatasi semua piramid purba yang pernah dikenal pasti dari segi ketinggian, termasuk Piramid Agung Giza (146 meter), Gunung Padang di Indonesia (95 meter) dan monumen dasar laut Yonaguni di Jepun (27 meter).
Menurut pakar geologi, Cerro El Cono mungkin merupakan kon gunung berapi yang telah pupus, volcanic plug (bongkah lava beku dalam rekahan gunung berapi), atau intrusi igneus, formasi batuan beku yang menolak ke atas dari dalam kerak bumi jutaan tahun lalu tetapi tidak sampai ke permukaan.
Apabila bahan gunung berapi yang lembut seperti abu dan tanah mendap terhakis, hanya batuan keras yang tinggal membentuk bukit atau puncak seperti Cerro El Cono namun, bentuk cerunnya yang amat curam dan struktur seperti sisi piramid yang rata terus mencetuskan kekaguman dan rasa ingin tahu dalam kalangan penyelidik serta pencinta sejarah purba. - UTUSAN
|