PETALING JAYA – Tindakan seorang guru sekolah menengah yang sanggup datang ke rumah pelajarnya semata-mata mahu mengejutkan anak didiknya itu daripada tidur supaya dapat hadir ke sekolah telah mencuri perhatian ramai.
Kisah itu dikongsikan oleh guru terbabit, Abdul Muiez menerusi akaun Facebook miliknya yang mengakui ia adalah pengalaman pertama sepanjang 18 tahun berkhidmat sebagai pendidik.
“18 tahun berkhidmat, ini kali pertama saya masuk bilik, kejut murid suruh datang sekolah.
“Bila sampai, masya-Allah. Mak ayah dia sangat baik, layan kami dengan baik. Maknya cakap anak tengah tidur, ayah pula buka kunci bilik dan suruh kami masuk kejutkan sendiri,” tulisnya.
Menurutnya, tiga orang guru wanita cuba mengejutkan pelajar berkenaan, namun tidak berhasil apabila murid tersebut hanya berpura-pura tidur.
“Saya pula masuk, pun sama, pura-pura tidur. Akhirnya, kami serahkan kepada mak dia sahajalah. Kita tengoklah macam mana nanti,” ujarnya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen berkongsi pandangan tentang peranan ibu bapa serta perbezaan cara didikan dahulu dan kini.
“Nak tak nak, kita kena akui, cara didikan orang dahulu lagi berkesan. Garang sebab nak beri jadi orang,” komen Muhamad Shahrol.
“Mak dulu-dulu sebat saja, elok jadi manusia. Tak adanya nak susahkan orang lain datang kejut dan pujuk anak,” kata Mas Hadi.
“Kenapa tak siram air sejuk je? Maaflah saya cara mak Asia. Kasihan pula pada cikgu sampai nak datang kejut. Macam mengada sangat,” tulis Ezurianty Kak Ezu. – KOSMO! ONLINE
|