KUALA LUMPUR: Penjual belon yang terbabit dalam insiden kekasaran di ibu negara sebelum ini bakal memulakan tindakan saman sivil terhadap anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, Abang Belon atau nama sebenarnya, Muhammad Zaimuddin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap anggota penguat kuasa DBKL yang terlibat dalam insiden pada Mac lalu.
Menurutnya, surat untuk memohon nama pegawai yang terlibat sudah dihantar kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Shari dan dua pegawai atasan DBKL.
“Saudara Muhammad Zaim secara rasmi telah menghantar surat dan memohon penama-penama anggota penguat kuasa DBKL yang terlibat termasuk pangkat mereka kerana kita merasakan ada keperluan mendesak untuk memulakan tindakan undang-undang sivil
“Surat telah diutus melalui emel dalam pada tengahari tadi dan kita juga akan hantar secara tangan,” katanya semasa sidang akhbar, di sini.
Tiga anggota penguat kuasa DBKL yang terlibat dalam insiden pergelutan itu direhatkan sementara daripada tugas mereka.
Mengulas lanjut, Muhammad Rafique berkata, Muhammad Zaim kini mengalami gangguan stress pasca trauma (PTSD) dan sukar untuk tidur malam.
Jelasnya, Muhammad Zaim amat terkesan dengan tuduhan yang dilemparkan kepadanya termasuk mengenai beliau berlakon sakit, selain mengaitkan kes jenayah lampaunya.
“Beliau (Muhammad Zaim) down sebab ada orang masih menyerangnya kononnya dia belakon. Kita sedang pertimbangkan untuk menyamar malu terhadap pengguna media sosial yang memfitnah Abang Belon,” katanya. – UTUSAN
|