MELAKA – Seorang wanita nekad menggigit lidah remaja lelaki bagi menyelamatkan dirinya daripada menjadi mangsa rogol dalam kejadian di sebuah spa kecantikan di Batu Berendam di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, laporan berhubung kejadian telah dibuat mangsa yang berusia 25 tahun pada pukul 11.53 pagi di Balai Polis Batu Berendam, semalam.
Katanya, susulan maklumat diterima, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun diberkas di sebuah rumah pangsa di Taman Merdeka, kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.
“Mengikut laporan dibuat, mangsa mendakwa telah didatangi suspek yang berpura-pura bertanya tentang pakej rawatan kononnya untuk teman wanitanya yang dalam perjalanan.
“Setelah masuk ke dalam spa, suspek tiba-tiba menutup mulut mangsa dengan tangan dan menariknya masuk ke bilik rawatan sebelum meraba serta menolaknya sehingga jatuh ke lantai,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Tambahnya, suspek kemudian cuba merogol mangsa tetapi wanita berkenaan bertindak menggigit lidah dan mencubit perut remaja itu dengan kuat.
“Mangsa kemudian menjerit membuatkan suspek terus melarikan diri.
“Dia menghubungi majikannya dan diminta untuk mengunci pintu premis, namun beberapa minit selepas itu suspek muncul sekali lagi dan cuba masuk ke dalam spa namun gagal,”ujarnya.
Christopher berkata, dalam tangkapan dibuat, polis turut merampas sebuah motosikal Honda EX5 dipercayai kenderaan curi yang digunakan suspek.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 376/511 dan 393 Kanun Keseksaan atas cubaan merogol dan samun. – KOSMO! ONLINE
|