Kuala Lumpur: "Mama bantu lepaskan saya."
Demikian mesej dihantar seorang gadis berusia 22 tahun kepada ibunya yang meminta diselamatkan selepas dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Kemboja.
Ibu mahu dikenali Yanti, 45, berkata mesej berkenaan diterima menerusi aplikasi Telegram pada 28 Mac lalu dan sehingga kini anak tunggalnya itu dikatakan masih 'dikurung' oleh sindiket penipuan dalam talian.
Menurutnya, anak memaklumkan mengikut dua rakan yang juga pasangan kekasih 'makan angin' ke Thailand sebelum diseludup masuk ke Kemboja.
"Dia (anak) tidak tahu dia kena tipu… sekarang dia seorang sahaja rakyat Malaysia di sana, yang lain semua orang China. Anak saya pandai cakap Cina sebab bekas suami saya orang Cina.
"Dia hanya dapat hubungi saya melalui Telegram beberapa kali. Anak saya minta tolong diselamatkan dan ada hantar lokasi tapi saya tidak tahu bagaimana keadaannya sekarang," katanya pada sidang media di Pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini, hari ini.
Turut hadir Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim.
Yanti yang berasal dari Limbang, Sarawak mendakwa datang ke Kuala Lumpur untuk meminta pertolongan MHO pada minggu lalu.
"Saya tidak tahu apa nak buat dan ambil cuti datang ke sini. Saya sekarang menyewa di sebuah hotel di ibu kota dan akan tunggusehingga anak saya diselamatkan.
"Semalam pun anak saya mesej lagi tanya bila boleh bawa dia pulang," katanya yang turut merayu bantuan pihak berkuasa dan sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu.
"Saya mahu anak saya balik ke pangkuan saya. Anak saya anak tunggal… saya mohon kerajaan bantu selamatkan dia," katanya.
Sementara itu, Hishamuddin berkata, pihaknya akan menyalurkan permohonan bantuan segera kepada Kedutaan Malaysia di Kemboja dan Kedutaan Kemboja di Malaysia.
"Kami mohon kedua-dua pihak berkolaborasi dan segera menyelamatkan mangsa. Laporan polis juga dibuat dan kita mahu usaha menyelamatkan mangsa ini dapat dipercepatkan," katanya. - HARIAN METRO
|