SETIAP pasangan suami isteri yang mendirikan rumah tangga pasti mengimpikan mahligai perkahwinan dibina kekal bahagia dan harmoni selamanya.
Kebiasaannya di awal perkahwinan atau lebih dikenali sebagai fasa bulan madu, ia menjadi detik yang membahagiakan pasangan.
Bagaimanapun, selepas beberapa tahun, kebiasaannya kemanisan hubungan ini beransur 'tawar.' Perasaan teruja, gembira dan bahagia yang dirasai ketika di awal perkahwinan bertukar menjadi hambar.
Ada beberapa faktor menyebabkan keadaan ini berlaku termasuk kurang berkomunikasi, terikat dengan komitmen kerja, fokus beralih kepada anak dan berada di zon selesa apabila setiap perkara dilakukan sudah dianggap biasa.
Sekiranya, tiada tindakan diambil, hubungan suami isteri akan menjadi membosankan dan paling membimbangkan, ia boleh menyebabkan keretakan rumah tangga.
Untuk menghangatkan dan menyemarakkan kembali hubungan seperti pasangan baru bercinta, suami isteri perlu bekerjasama untuk merealisasikan matlamat itu untuk mengecapi kebahagiaan yang diimpikan.
Berikut enam cara untuk anda menyemarakkan dan menghangatkan kembali hubungan suami isteri.
1. Sentiasa berkomunikasi dan bincang masalah secara terbuka.
Komunikasi adalah kunci utama untuk meraih kebahagiaan dalam hubungan suami isteri. Dalam hal ini pasangan perlu luangkan masa untuk berbual mengenai pelbagai perkara untuk mengeratkan lagi hubungan. Apabila timbul sebarang masalah, pasangan perlu untuk duduk semeja dan berbincang bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.
2. Memuji pasangan
Kajian mendapati pujian boleh memberi kesan baik terhadap kesihatan mental. Pujian yang diberikan bukan sahaja membuatkan pasangan anda gembira dan bahagia, malah akan membuatkan mereka rasa lebih dihargai, sekali gus dapat menghangatkan lagi hubungan.
3. Sentiasa mengambil berat
Pertanyaan ringkas mengenai keadaan semasa pada setiap hari, sebenarnya mampu memberi impak yang besar kepada pasangan. Usaha ini menunjukkan anda sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap pasangan. Melalui pertanyaan ini dapat memberi semangat kepada pasangan. Apabila berada di pejabat, anda boleh menghantar pesanan ringkas bertanya keadaan pasangan yang pasti membuatkannya rasa gembira dan bahagia.
4. Hadiah dan kejutan
Memberi hadiah adalah salah satu cara yang dapat memberi kegembiraan dan kebahagiaan kepada pasangan. Anda tidak semestinya perlu menunggu hari istimewa seperti hari lahir atau ulang tahun perkahwinan untuk memberikan hadiah. Pemberian hadiah ini adalah sebagai tanda ingatan dan penghargaan kepada pasangan.
5. Cuba perkara baru bersama
Meneroka hobi bersama-sama dapat membantu anda dan pasangan mengeratkan lagi hubungan suami isteri. Dengan melakukan aktiviti secara bersama-sama dapat membentuk persefahaman sekali gus hubungan rumah tangga pasti akan lebih bermakna. Hobi bukan lagi suatu aktiviti untuk mengisi masa lapang semata-mata malah momen kepada pasangan.
6. Luangkan masa khusus dengan pasangan
Meluangkan masa bersama berdua dengan pasangan dapat menghangatkan kembali hubungan suami isteri. Dalam kesibukan kerja dan menguruskan keluarga, sekali sekala pasangan boleh cuba mencuri masa beberapa jam untuk keluar 'dating' untuk kembali menyemarakkan kembali perasaan kasih sayang dan cinta seperti di awal perkahwinan dahulu. - HARIAN METRO
|