
TAWAU: Mayat seorang lelaki ditemukan di dalam parit di Jalan Kampung Titingan, di sini, tengah hari, tadi.
Penemuan mayat berkenaan disahkan Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin dalam kenyataan media, hari ini.
Jasmin berkata, pihak polis menerima panggilan telefon daripada orang awam melaporkan penemuan mayat kira-kira jam 12 tengah hari.
“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pergi ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan awal.
“Setakat ini maklumat diri mayat lelaki berkenaan belum dapat dipastikan dan siasatan masih dijalankan,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Besar Tawau untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Setakat ini belum ada waris yang tampil untuk membuat pengecaman dan polis tidak menerima sebarang laporan mengenai kehilangan ahli keluarga,” katanya.
|